June 29, 2022
By A KADIR
JASIN / June 28, 2022
Perang
dalam Umno, tuduhan jenayah yang semakin banyak ke atas ketua-ketuanya, “peran”
Najib yang semakin menjadi-jadi, kerajaan yang terumbang-ambing dan pembangkang
yang tidak meyakinkan adalah antara manifestasi maladi politik Malaysia yang
bertambah teruk.
Tanyalah
sesiapa pun, siapa bakal Perdana Menteri selepas pilihan raya umum akan datang,
mulut mereka melopong dan pandangan mata mereka kosong. Mereka akan tanya
balik, siapa?
Saya kata, tidak kiralah
siapa – Ismail Sabri, Khairy, Anwar, Rafizi, Mohamad Hasan, Nurul Izzah atau
Shafie. Takkanlah daripada lebih 30 juta rakyat Malaysia, tidak ada seorang pun
layak jadi Perdana Menteri?
Anwar Ibrahim
Dikatakan pula, dengan
sokongan Mohd Najib Abdul Razak, Ahmad Zahid Hamidi dan banyak lagi Ahli
Parlimen Umno, Anwar Ibrahim ada majoriti. Kalau dia ada majoriti, pasal apa
tidak dilantik jadi Perdana Menteri? Siapa pula yang berkonspirasi?
Apa dah jadi dengan
Malaysia kita ini? Takkanlah Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Hussein, Hussein
Onn, Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Abdul Razak itu
saja yang kita ada?
Kluster mahkamah, tak kiralah parti mana, kita tolak sebelah. Ada
antara mereka yang tinggal selangkah saja lagi ke penjara.
Tuduhan ke atas mereka
ada banyak lagi. Melainkan nasib negara bernama Malaysia ini cukup-cukup
malang, diperintah oleh hantu jembalang logiknya mereka ini akan menebus dosa
mereka terhadap rakyat jelata dari penjara.
Adakah kita akan jadi
macam Indonesia pasca-Orde Baru (kediktatoran Suharto)? Selama 16 tahun ia
terumbang-ambing daripada seorang Presiden kepada Presiden yang lain
sehinggalah Joko Widodo (Jokowi) naik menjadi Presiden pada 2014?
Harap-harap tidaklah
seburuk itu. Moga-moga menjelang PRU nanti, muncullah pilih atur (permutation)
dari segi calon Perdana Menteri dan gabungan parti-parti politik yang
berintegriti.