SABAR-SABARLAH KLUSTER MAHKAMAH, PENDIRIAN PM DALAM PENENTUAN TARIKH PRU ADALAH BETUL

 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah membuat satu kenyataan yang betul apabila beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak boleh mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam soal menentukan tarikh pilihanraya umum ke-15 pada masa sekarang ini, sewaktu tempoh Parlimen Malaysia Ke-14 masih ada masa hampir setahun lagi.

Pilihanraya umum Parlimen ke-14 berlangsung pada 9 Mei 2018. Jika dikira tempoh lima tahun untuk mengadakan pilihanraya umum ke-15, maka tarikh tamat tempoh ialah pada 8 Mei 2023.

Tetapi ada tafsiran undang-undang menyatakan tempoh 5 tahun itu bermula apabila ahli-ahli parlimen Penggal ke-14 mengangkat sumpah iaitu pada 16 Julai 2018.

Ini bermakna tempoh lima tahun itu berakhir pada 15 Julai 2023. Jika 15 Julai diambil kira, dan katakalah Parlimen dibubarkan pada tarikh tersebut, maka undang-undang mengadakan peruntukan bahawa pilihanraya umum ke-15 hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran parlimen.

Ini membawa maksud Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) boleh menetapkan tarikh pilihanraya Umum pada atau sebelum 14 September 2023.

Jadi ada tempoh lebih kurang setahun lagi mandat yang diberi oleh rakyat kepada Parlimen Malaysia ke-14.

Jika pada tahun hadapan iaitu tahun 2023 Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Baginda di bawah Perkara 40(1) supaya membubarkan Parlimen ke-14 bagi membolehkan pilihanraya umum ke-15 diadakan, maka secara konvensyen perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong wajar menerima nasihat Perdana Menteri itu dan memperkenankan permohonan tersebut.

Tidak molek dan tidak cantik, malah akan jadi krisis perlembagaan jika Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat Perdana Menteri itu.

Tetapi sebaliknya, jika esok atau seminggu dua ini atau bulan hadapan atau bulan-bulan mendatang dalam tahun 2022 ini, kerana didesak dan ditekan kiri kanan ke atas Perdana Menteri sehingga akhirnya Perdana Menteri menyerah kalah dan terus ke Istana Negara mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihat baginda supaya membubarkan Parlimen Malaysia ke-14 bagi membolehkan PRU ke-15 diadakan, maka ada risikonya bahawa permohonan itu boleh ditolak.

Aiblah bagi seorang Perdana Menteri jika Yang di-Pertuan Agong menolak nasihatnya, seperti hal yang pernah berlaku ke atas Perdana Menteri sebelum ini.

Ini rasanya, mungkin, barangkali, sebagai sebab mengapa Ismail Sabri Yaakob perlu berhati-hati supaya “pisang tidak berbuah dua kali”.

Negara Malaysia ini bukan negara kuasa rakyat sepenuhnya. Sistem Raja Berperlembagaan masih berfungsi. Yang di-Pertuan Agong boleh menolak nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 40(2)(b) iaitu Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakaan kuasa budibicara baginda untuk tidak memberi izin terhadap permohonan pembubaran Parlimen terlalu awal dari tarikh yang wajar dan sepatutnya.

Jadi kepada anggota Kluster Mahkamah, atau yang bukan Kluster Mahkamah tetapi sudah teruja sangat untuk kembali berada di koridor kuasa dan di puncak takhta supaya bersabar-sabarlah sedikit.

Selesaikan dulu kes masing-masing di Mahkamah. Adakan dulu pemilihan parti politik masing-masing. Kawal inflasi supaya tidak masuk ke tahap hyper-inflasi sehingga rakyat biasa boleh “mati”.

Selepas keadaan sesuai dan selesa, dan penyakit Covid-19 benar-benar tidak lagi menjadi ancaman bahaya terhadap kesihatan awam, maka ketika itu, silalah kita adakan pilihanraya umum ke-15.

“Tidak lari gunung dikejar,” Raikanlah Festa Demokrasi Rakyat apabila tiba saatnya nanti.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Isnin, 06 Jun 2022