Rakyat tak desak PRU15 diadakan lebih awal, ia hanya desakan politik, kata KJ
PETALING JAYA: Pelaksanaan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat hanya “desakan politik” berbanding “desakan rakyat”, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Ahli Parlimen Rembau itu, berkata negara kini masih berada pada fasa peralihan endemik, belum memasuki fasa endemik untuk membenarkan aktiviti tanpa kawalan kesihatan, termasuklah ceramah besar-besaran.
Katanya, sehingga kini Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih dikuatkuasakan dan pelaksanaan PRU15 dalam masa terdekat hanyalah desakan ahli politik yang tidak memikirkan soal kesihatan rakyat.
“Saya sebagai menteri kesihatan masih mengisytiharkan Malaysia sebagai kawasan pandemik Covid-19 dan dalam fasa peralihan endemik, maksudnya kita masih lagi adakan beberapa sekatan seperti memakai pelitup muka.
“Kalau nak jaga kesihatan awam, kita tunggu beberapa bulan lagi hingga ke fasa endemik dan saya lebih selesa (PRU15 diadakan) sebagai menteri kesihatan pada waktu itu, lagipun tiada desakan daripada rakyat, sebaliknya lebih kepada ahli politik,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang konsisten mendesak PRU15 diadakan dengan alasan mandat rakyat harus dikembalikan.