Perlumbaan untuk mendapatkan otak yang geliga
Di dalam banyak tajuk-tujuk berita perniagaan hari ini, tajuk
ini menarik perhatian saya. Ini adalah kerana perbezaan yang boleh berlaku di
dalam mana-mana organisasi berdasarkan kaedah mereka memilih bakat.
Jika kita berbual-bual dengan tokey-tokey perniagaan, saya
percaya isu utama yang mereka hadapi ialah mencari ahli pasukan yang bergeliga.
Ini adalah kerana ramai anak-anak kita yang bergeliga sudah memilih padang yang
lain sebagai tempat mereka bermain.
Ada banyak sebab aliran keluar otak-otak yang bergeliga ke
negara-negara luar. Di antaranya ialah:
1. Potensi pendapatan yang lebih tinggi. Sebagai contoh, dengan
ilmu, kemahiran dan pengalaman yang sama, seseorang yang ada bakat boleh
menggandakan pendapatannya dengan menyeberangi Tambak Johor. Malah, gaji
nominal di sana mungkin lebih tinggi berbanding dengan apa yang mereka dapati
di sini. Semasa saya menjadi Pengerusi Eksekutif Lembaga Pemantauan Audit
dahulu, di antara tekanan yang dihadapi oleh firma-firma perakaunan di Malaysia
ialah peluang pekerjaan yang lebih baik di luar negara, walau pun di dalam
kumpulan firma yang sama. Lagi jatuh nilai duit kita, bukan sahaja harga
barangan naik tetapi bakat kita juga boleh naik kapalterbang ke luar negara dan
tak pulang-pulang.
2. Sentiasa dihalau ke supaya keluar. Oleh kerana ramai orang di
dalam masyarakat berpandangan bahawa kualiti seseorang itu adalah berdasarkan
warna kulit yang menyelaputi otak, bukannya kegeligaan otak itu sendiri, mereka
akan menghalau otak-otak itu supaya keluar negara apabila ada perbezaan
pandangan atau pun isu-isu ketidakadilan di bincangkan. Entah dari mana
datangnya ajaran bahawa manusia itu benar-benar memiliki sesuatu sehingga boleh
menghalau orang lain keluar walaupun mereka diajar di dalam agama bahawa segala
sesuatu termasuk tanah air adalah milik Allah. Apabila sentiasa dihalau, adalah
yang akhirnya menyahut seruan berkenaan.
3. Ada juga bakat yang bergeliga keluar kerana mengenangkan
nasib anak cucu mereka. Dengan apa yang sedang berlaku di sini, mereka tak
nampak jalan bahawa keadaan akan bertambah baik. Pencuri diarak sebagai hero,
kangkung dilantik sebagai penasihat, orang yang tak pernah berniaga menetapkan
polisi ke atas orang yang berniaga dan macam-macam hal lagi. Oleh kerana otak
dan bakat yang mereka ada dinilai tinggi di banyak lagi muka bumi Allah ini,
mereka mencari peluang untuk membina kehidupan di tempat yang mana anak cucu
mereka berpeluang untuk hidup di dalam kehidupan yang dianggap lebih baik.
Semalam ada seorang menteri yang melawat negara ini. Dia asalnya
dilahirkan di kepulauan Borneo. Saya senyum sahaja melibat beliau disambut baik
di sini. Sama seperti Nadiem Makarim di negara sebelah, mereka mungkin tidak
akan diberi peluang di dalam masyarakat yang sibuk bertanya siapa pasangan
hidup mereka. Fahamlah siapa yang faham
Negara-negara yang mengimpot bakat tidak perlu melabur di dalam
pendidikan bakat-bakat yang berkenaan. Pilih sahaja yang paling hebat. Jika
kena bayar pun, tak apa. Sudah tentu mereka memilih yang terbaik. Sebaliknya,
bakat-bakat berkenaan tidak dinilai sedemikian di dalam masyarakat yang tidak
mementingkan merit atau pun memilih bakat berdasarkan perkara yang tidak
berkenaan seperti warna kulit dan juga agama. Jadi, faktor penarik dan
pendorong ini bergabung untuk menjadikan padang di luar nampak lebih cantik.
Pilihan kita di dalam meletakkan apa yang penting akan
menentukan samada kita akan menjadi masyarakat yang menarik bakat atau
sebaliknya. Bergantung kepada semangat dan emosi sahaja belum tentu menjadi
formula yang berjaya. Tapi, bagi seseorang yang tak ada apa yang nak
ditawarkan, semangat dan emosilah dijaja sebagai resepi kejayaan. Bagi otak
yang bergeliga dan memahami, ada yang cepat-cepat keluar sebelum lebih ramai
lagi orang yang entah apa-apa dinaikkan untuk mentadbir dan mengurus hal ehwal
masyarakat.