PEMIMPIN BERSATU SEDANG BEREBUT GANTI ZURAIDA, PAK WAN DAN KJ DALAM SENARAI UTAMA


 Meskipun belum pasti perletakan jawatan Zuraida Kamaruddin selaku Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi diterima oleh Perdana Menteri dan ada kekosongan bagi jawatan tersebut, tetapi perlumbaan sesama sendiri di kalangan pemimpin-pemimpin Bersatu untuk menggantikannya tetap rancak sejak seminggu yang lalu.

Bagi Bersatu, sementara mereka menerima hakikat bahawa perlantikan menteri adalah hak Ismal Sabri Yaakob menentukannya, mereka juga sedar kouta untuk setiap parti adalah perkara yang seharusnya tidak lupa untuk dihormati oleh Perdana Menteri.

Untuk itu, memandangkan Zuraida diberikan jawatan itu atas kouta Bersatu, tindakannya keluar parti dan menyertai Parti Bangsa Malaysia atau PBM, bermakna bellau tiada pilihan lain melainkan mesti mengundurkan diri agar kekosongannya dapat diganti oleh pemimpin Bersatu yang lain.

Proses seterusnya terserahlah kepada Ismail Sabri sama ada menerima perletakan jawatan Zuraida itu, mengisi atau membiarkannya kosong begitu saja.

Maka itu, dalam usaha mencuba nasib dan memperbaiki rezeki kehidupan, beberapa pemimpin Bersatu kini dilaporkan sedang bersaing sesama sendiri untuk melobi jawatan itu, manalah tahu kalau-kalau Ismail Sabri terbuka hati ingin melakukan pengisian dengan segera.

Dua nama disebut-sebut dalam senarai paling atas untuk menggantikan Zuraida itu ialah Redzuan Md Yusof, bekas Menteri Tugas-Tugas Khas yang kini merupakan Pengerusi Boustead dan Kamaruddin Jaafar, Timbalan Menteri Luar Negeri.

Redzuan atau Pak Wan dianggap paling layak kerana antara pengasas awal Bersatu serta pernah memegang jawatan menteri sebelum ini.

Kamaruddin Jaafar atau KJ, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak adalah antara wakil rakyat senior dalam Parlimen kerana sebelum menyertai Bersatu bersama Kumpulan Azmin Ali, beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen atas tiket Pas dan juga PKR.

Pencalonannya juga dikatakan disokong kuat oleh Azmin yang merasakan pengganti Zuraida mestilah daripada kelompok bekas pemimpin PKR juga.

Lobi-melobi terhadap Mahiaddin Md Yasin agar beliau mencalonkan sama ada Pak Wan atau KJ dilaporkan sedang berjalan rancak ketika ini.

Sementara itu, beberapa pemimpin Bersatu yang lain yang merasakan mereka juga layak menjadi menteri turut dilaporkan cuba melobi Mahiaddin agar pilihan lebih memihak kepada mereka.

Antara yang dilaporkan melobi itu ialah ialah Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Ahmad Fahysal Wan Kamal.

Sementara Wan Ahmad Fahysal atau Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan merupakan seorang Senator yang membolehkannya lebih mudah dinaikkan pangkat sebagai menteri, Wan Saiful pula bukan merupakan Ahli Dewan Negara.

Dengan itu, pelobian Wan Saiful mungkin berdepan sedikit kesukaran kerana beliau harus dilantik sebagai Senator terlebih dahulu jika dianya ingin dilantik sebagai menteri.

Dalam pada itu, melalui sumber-sumber UMNO, Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz yang sebelum ini merupakan pemimpin parti itu sebelum melompat menyertai Bersatu bersama Kumpulan Hamzah Zainuddin, tidak ketinggalan sedang melobi sama untuk merasa dinaikkan pangkat menjadi menteri.

Beliau kini adalah Timbalan Menteri Pertahanan dikatakan selain melobi melalui Mahiaddin, juga dengan mendekati pemimpin-pemimpin UMNO yang mempunyai hubungan rapat dengan Ismail Sabri. – ShahbudinHusin 01/06/2022.