Ibu kota baharu Indonesia 'Nusantara' mula dibina Ogos ini
Astro Awani
Jun 24, 2022
Jokowi ketika mengadakan lawatan ke Bendungan Sepaku Semoi di Penajam Paser Utara yang pembinaannya sudah mencapai 56 peratus dengan jangkaan selesai awal 2023. -Twitter Joko Widodo
JAKARTA: Indonesia akan memulakan pembinaan bangunan kerajaan di ibu negara baharunya Ogos ini, kata Menteri Kerja Raya dan Perumahan republik itu.
Basuki Hadimuljono berkata demikian ketika memaklumkan perancangan itu kepada Presiden Joko Widodo yang dalam lawatan ke lokasi di mana istana negeri akan dibina, lapor Bloomberg.
Kerajaan juga akan mula membangunkan infrastruktur di lokasi baharu itu termasuk sistem air, sanitasi dan jalan bertol, kata menteri itu.
Indonesia merancang untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan Timur, dari Jakarta, untuk membawa lebih banyak kekayaan dan pembangunan di luar pulau terkaya di Jawa.
Nusantara, nama yang dipilih sebagai menggantikan ibu kota Jakarta, merupakan projek mega yang dianggar bernilai AS$34 bilion (sekitar RM150 bilion).
Nusantara dirancang sebagai bandar mesra alam yang akan menggunakan tenaga boleh diperbaharui sepenuhnya.
Bagaimanapun perancangan itu mendapat kritikan bahawa pembinaannya boleh mengancam salah satu hutan hujan tertua di dunia.
"Apa yang paling penting ialah kita mahu menjadi berpaksikan Indonesia, bukan berpaksikan Jawa,.
“Apabila kita membuat garisan dari barat ke timur dan utara ke selatan, titik tengahnya ialah wilayah Kalimantan Timur ini,” kata Jokowi pada Rabu.
Jokowi menjemput pemimpin media untuk meninjau tapak pembinaan selain bercakap kepada pelajar universiti tentang ibu kota baharu itu pada Rabu.
Ia dilakukan dalam usaha mendapatkan sokongan untuk meneruskan rancangan itu.
Jokowi sebelum ini menjangkakan Ibu Kota Indonesia (IKN) Nusantara itu akan dapat disiapkan dalam tempoh 15 ke 20 tahun.
Menurut Jokowi, pembinaan IKN Nusantara adalah satu tugasan besar dan sukar untuk dilakukan.