Nafas, Angkasa ternak ayam, penternak kecil gulung tikar?
Penglibatan koperasi besar seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam industri penternakan ayam sebagaimana diumumkan kerajaan baru baru ini perlu dikaji secara teliti kesan sampingannya.
Jurucakap Parlimen bagi Pertanian dan Komoditi KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata dengan modal ratusan juta ringgit yang dimiliki oleh dua koperasi itu maka penternakan bidang besar boleh diusahakan.
Bagaimanapun, katanya, terdapat risiko kepada dua koperasi berkenaan sekiranya memilih bidang penternakan ayam.
“Saya berpandangan sektor penternakan ayam ini agak berisiko kepada ahli-ahli Nafas dan Angkasa.
“Pertama, sektor penternakan ayam adalah Lautan Merah (red ocean). Sektor ini telah wujud pemain-pemain industri yang ramai dan sesak (crowded).
“Kedua, margin keuntungan agak tipis kerana harga ayam kekal rendah selama puluhan tahun. Rakyat berkehendakkan harga ayam rendah, maka kawalan harga oleh kerajaan selalunya menyebabkan kerugian kepada para penternak.
“Ketiga, bekalan domestik telah mencecah 105% SSR (Self Sufficient Rate). Hal ini bermaksud pasaran telah tepu. Tidak wujud pasaran baharu.
“Atas faktor inilah, kemasukan Nafas dan Angkasa tidak semestinya membawa keuntungan yang dijangkakan, malah mungkin menghadapi kerugian,” kata Sim dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, menurut mantan Timbalan Menteri Pertanian itu, penglibatan koperasi yang rapat dengan kerajaan akan pastinya menerima bantuan pada skala besar. Sama ada tanah kerajaan percuma, geran atau pinjaman faedah rendah.
Pelbagai subsidi juga, katanya akan dipertimbangkan. Permohonan lesen di semua peringkat mungkin dipermudahkan. Hal itu, tambah Sim, tentunya memberi masalah persaingan harga kepada penternak ayam yang lebih kecil.
“Mereka (koperasi) akan mencapai skala ekonomi. Kos pengeluaran sudah tentu lebih murah.
“Penternak-penternak kecil yang sedia ada tentunya tidak dapat bantuan sebegini. Mereka masih perlu membayar pinjaman bank. Membayar sewa tanah. Ini mewujudkan ketidakadilan (uneven level playing field). Mereka sudah tentu akan kalah kepada koperasi gergasi.
“Apakah nasib mereka selepas ini? Mereka mungkin akan tutup kedai kerana tidak berupaya untuk bersaing. Kehilangan petani adalah satu kehilangan sumber makanan kita kerana “No farmers No food”.
“Penternak harus dilihat sebagai benteng sekuriti makanan negara. Kita harus menjaga mereka,” katanya.
Tambah Sim, ada beberapa sekor pertanian lain yang kurang risiko yang lebih relevan diceburi Nafas atau Angkasa dan boleh menjamin keuntungan.
Justeru, beliau meminta agar kerajaan mengkaji semula penglibatan dua koperasi berkenaan dalam industri penternakan ayam.
“Ada banyak sektor pertanian lain memerlukan perhatian kerajaan. Antaranya tanaman padi (SSR 70%), penternakan ruminan (SSR 20%), lembu tenusu (SSR 50%) sektor penanaman sayur-sayuran (SSR 60%), Akuakultur dan banyak lagi.
“Penglibatan Nafas dan Angkasa dalam Lautan Biru tersebut sangat dialu-alukan. Mereka akan membantu mengurangkan kebergantungan import makanan dari luar negara.
“Bukankah itu strategi yang lebih bijak?” tanyanya.
Sebelum ini, Kerajaan mengumumkan bahawa Nafas dan Angkasa akan menceburi bidang penternakan ayam. Mereka dikatakan mensasarkan 20% pasaran ayam domestik.
Biar pun dialu alukan dalam usaha merendahkan harga ayam bulat di pasaran, namun sesetengah pihak mempertikaikan penglibatan dua koperasi besar itu akan memberi kesan sampingan kepada industri penternakan ayam sedia ada.