MOHON MENCADANGKAN – ISMAIL SABRI JANGAN SESEKALI BUBAR PARLIMEN SELAGI TAK JADI PRESIDEN UMNO


 Hari ini Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bercakap lagi buat kesekian kalinya mengenai tarikh PRU15.

Katanya, walaupun tarikh paling lewat untuk diadakan PRU15 ialah Julai 2023, tetapi ia mungkin diadakan lebih awal daripada itu.

“Walaupun tamat tempoh Julai tahun depan, ianya lebih kurang setahun sahaja dari sekarang. Setahun tidak lama bagi parti-parti politik untuk menghadapi pilihan raya, setahun bukanlah jangka masa yang lama.

“Sebab itu kita kena bersedia sentiasa, itu kalau paling lewat setahun, pilihan raya mungkin diadakan lebih awal dari tarikh akhir penggal.

“Maknanya kalau paling lewat setahun, kalau lebih awal, jangka masa itu lebih dekat. Semua jentera, tak kira UMNO, Barisan Nasional perlu sentiasa bersiap siaga kerana akhirnya pilihan raya akan tiba juga,” katanya ketika bercakap di Bera, kawasan Parlimen yang diwakilinya.

Apa pun, sebagaimana biasa, kenyataannya kali ini tidak juga membolehkan sesiapa untuk meneka dengan pasti bila Parlimen akan dibubarkan.

Segala-segalanya jelas masih samar dan kekal dalam teka-teki di mana hanya Perdana Menteri saja yang tahu bila masa yang sesuai untuk beliau menghadap Agong bagi memohon pembubaran Parlimen.

Lalu, sebenar-benarnya bilakah masa yang paling sesuai untuk diadakan PRU15 ?

Sama ada awal atau lewat, tahun ini atau tahun depan, tarikh yang paling sesuai dan sebenar-benarnya tepat untuk Ismail Sabri memohon pembubaran Parlimen dan mengadakan PRU15 ialah setelah beliau menjadi Presiden UMNO.

Selagi tidak memegang jawatan Presiden UMNO dan jawatan itu dipegang oleh orang lain, PRU15 sama sekali tidak sesuai diadakan kerana ia hanya mendatangkan lebih banyak masalah kepadanya.

Jika PRU15 diadakan dalam keadaan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri tidak menjadi Presiden UMNO, beliau akan mula berdepan masalah sebelum pilihan raya itu diadakan, ketika kempen berjalan dan malah selepas keputusan diumumkan.

Sebelum pilihan raya, masalah yang akan dihadapinya ialah berkaitan pemilihan calon-calon yang ditentukan oleh orang lain, sedangkan beliau adalah “poster boy” yang telah ditetapkan oleh parti.

Bagaimana beliau sebagai “poster boy” mahu masuk ke medan pertempuran sedangkan anggota pasukannya ditentukan oleh orang lain?

Ketika tempoh berkempen pula, masalah akan berterusan lagi di mana mungkin akan berlaku pertembungan sesama sendiri dalam pengaturan program-program kempen.

Program anjuran parti sudah tentu akan melebihkan Presiden UMNO dan Najib Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BN, sementara hanya program anjuran kerajaan akan memihak kepada Ismail Sabri.

Paling kronik masalah yang akan muncul ialah selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Kalau BN ditakdirkan menang, terjaminkah Ismail Sabri akan dinamakan sebagai Perdana Menteri, walhal yang akan pergi menghadap Agong untuk mempersembahkan nama calon Perdana Menteri ialah Pengerusi BN merangkan Presiden UMNO?

Jika BN kalah pula, siapa yang rela hati memikul tanggungjawab atas kekalahan itu – Presiden UMNO atau Perdana Menteri?

Yang pasti, kalah atau menang, masalah tetap akan membuatkan Ismail Sabri tambah pening kepala.

Masalah hanya lebih mudah diselesaikan jika Perdana Menteri dan Presiden UMNO adalah orang yang sama ketika menghadapi PRU15 nanti.

Kalau saya boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri – buatlah dengan apa cara sekali pun, tetapi jangan sesekali bubar Parlimen selagi beliau tidak jadi Presiden UMNO. – ShahbudinHusin 19/06/2022.