Setoonpdrs4626hma1ggl00466gfc01053951hh102 ·
'Mengucap panjang lihat cucu sarat mengandung mati
ditembak'
PASIR MAS: "Dia (cucu) hanya memberitahu mahu
keluar untuk mengurut, selain meminta saya supaya menjaga tiga anaknya kerana
mengalami lenguh badan akibat mengandung.
"Saya tak sangka dia tidak pulang dan hanya
sekujur tubuh yang tidak bernyawa ditemui," luah Zawiah Sulong, 68.
Zawiah adalah nenek kepada seorang wanita sarat
mengandung tujuh bulan yang ditemui mati dengan kesan tembakan pada perut dalam
sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan di Kampung Repek, di sini, petang
semalam.
Beliau berkata, cucunya berusia 26 tahun itu keluar
sekitar jam 8 malam kelmarin dan tidak pulang keesokan harinya menyebabkan dia
sendiri cuba mencari dengan pergi ke rumah rakan mangsa.
"Malah, saya cuba menghubungi ibunya yang
tinggal di Kampung Bechah Kelubi, Bukit Panau, namun diberitahu anaknya itu
tidak pulang ke sana.
"Perkhabaran itu meresahkan saya sehinggalah
ada saudara beritahu kereta milik cucu tersadai di tepi jalan. Saya segera ke
lokasi dan terkejut melihat kehadiran polis dan orang ramai.
"Barulah saya tahu kejadian sebenar. Mengucap
panjang melihat cucu kesayangan kaku di dalam kereta sudah tidak bernyawa
lagi," katanya tiga anak arwah berusia tiga hingga 10 tahun.
Zawiah berkata, ketiga-tiga anak mangsa masih
berada dalam keadaan terkejut, malah anak paling bongsu asyik menangis
'mencari' ibunya itu kerana mereka sangat rapat.
"Dia (mangsa) seorang cucu yang sangat baik
dan peramah, tidak suka keluar malam kecuali jika ada urusan penting saja.
"Selain itu, dia juga tidak pernah bercerita
jika ada bermusuh atau sebagainya. Saya reda dengan apa yang terjadi dan perlu
kuat demi untuk terus menjaga anak mangsa yang masih lagi trauma dengan
kejadian ini.
"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan
Islam Kampung Bechah Kelubi seperti mana permintaan ibu kandungnya sebaik
segala proses bedah siasat selesai," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, dia berharap pembunuh cucunya itu dapat
segera ditahan dan dikenakan hukuman yang setimpal.