Polemik
bubar atau tidak Parlimen dalam tempoh terdekat antara pemimpin DAP dan Umno
yang memanas sejak semalam tidak perlu diperpanjangkan kerana tempoh penggal
kerajaan hanya akan tamat pada Julai 2023.
Menurut
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, jawapan PM Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob semalam bahawa beliau tidak punya kuasa membubarkan Parlimen dan
hanya mengharapkan Yang di-Pertuan Agong berkenan dengan permintaannya adalah
tepat.
Namun,
menurut Hassan, untuk apa Ismail perlu mengikut desakan pemimpin 'kluster
mahkamah' Umno kerana tempoh berkuasa pemerintahan berbaki sehingga setahun
daripada sekarang.
"Pilihan
Raya Umum (PRU) Parlimen ke-14 berlangsung pada 9 Mei 2018. Jika dikira tempoh
lima tahun untuk mengadakan PRU 15 maka tarikh tamat tempoh pada 8 Mei 2023.
"Tetapi
ada tafsiran undang-undang menyatakan tempoh 5 tahun bermula apabila Ahli-ahli
Parlimen Penggal ke-14 mengangkat sumpah, pada 16 Julai 2018.
"Ini
bermakna tempoh lima tahun berakhir pada 15 Julai 2023. Jika 15 Julai diambil
kira, dan katalah Parlimen dibubarkan pada tarikh tersebut maka undang-undang
memperuntukan PRU 15 hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh
pembubaran Parlimen dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) boleh menetapkan tarikh
PRU pada atau sebelum 14 September 2023," katanya dalam kenyataan hari
ini.
Hal
itu, jelas Hassan, boleh memberi tempoh berkuasa yang lebih bermakna kepada PM
Ismail sekiranya beliau mahu meninggalkan legasi yang bermakna.
Namun
katanya, jika Ismail tidak berdaya menghadapi tekanan pemimpin Umno lain beliau
boleh membubarkan Parlimen lebih awal, tetapi PM perlu ingat sekiranya Agong
tidak bersetuju maka maruah beliau sebagai ketua kerajaan akan merudum.
"Jika
pada tahun hadapan PM mengadap Agong untuk menasihati Baginda di bawah Perkara
40(1) supaya membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU 15 diadakan maka secara
konvensyen Perlembagaan, Agong wajar menerima nasihat PM itu dan memperkenankan
permohonan tersebut.
"Tetapi
sebaliknya, jika esok atau seminggu dua ini atau bulan-bulan mendatang kerana
didesak dan ditekan kiri kanan sehingga akhirnya PM menyerah kalah dan terus ke
Istana Negara mengadap Agong untuk menasihatkan Baginda membubarkan Parlimen
Malaysia ke-14, maka ada risikonya permohonan itu boleh ditolak.
"Aiblah
seorang Perdana Menteri jika Yang di-Pertuan Agong menolak nasihatnya, seperti
hal yang pernah berlaku ke atas PM sebelum ini.
"Ini
mungkin barangkali, sebab mengapa Ismail Sabri perlu lebih berhati-hati supaya
“pisang tidak berbuah dua kali”," kata Hassan dalam nasihatnya agar tidak
mengulangi takdir menimpa Mahiaddin Yassin yang dimalukan sebaik sahaja
pemintaan membubar Parlimen tidak diperkenankan.
Tambah
Hassan, Ismail perlu sentiasa ingat bahawa Malaysia bukanlah negara kuasa
rakyat sepenuhnya.
Tegas
beliau, Yang di-Pertuan Agong boleh menolak nasihat PM di bawah Perkara
40(2)(b). Agong boleh menggunakaan kuasa budibicara Baginda untuk tidak memberi
izin terhadap permohonan pembubaran Parlimen lebih awal daripada tarikh yang
wajar dan sepatutnya.
"Jadi
kepada anggota Kluster Mahkamah, atau yang bukan Kluster Mahkamah tetapi sudah
teruja sangat untuk kembali berada di koridor kuasa dan di puncak takhta,
bersabar-sabarlah sedikit.
"Selesaikan
dulu kes masing-masing di mahkamah. Adakan dulu pemilihan parti masing-masing.
Kawal inflasi supaya tidak masuk ke tahap hyper-inflasi sehingga rakyat biasa
boleh “mati”.
"Selepas
keadaan sesuai dan selesa, dan penyakit Covid-19 benar-benar tidak lagi menjadi
ancaman bahaya terhadap kesihatan awam, maka ketika itu silalah kita adakan PRU
15," katanya.
Justeru,
kepada pemimpin BN - PN, Hassan berkata sinis 'tidak lari gunung dikejar' dan
Festa Demokrasi Rakyat akan tetap diraikan apabila tiba saat yang sesuai.