Konvensyen BN yang diadakan semalam tidak lain tujuannya ialah
semata-mata untuk meningkatkan lagi tekanan kepada Perdana Menteri agar segera
membubarkan Parlimen.
Maksud dan tujuan itu bukan saja mudah difahami melalui intipati
ucapan Zahid Hamidi, Najib Razak dan Mohamad Hasan, malah juga kerana
konvensyen tersebut diadakan pada pada hari Rabu iaitu hari bekerja.
Kenapa program parti tidak diadakan pada Sabtu, Ahad dan hujung
minggu yang ada cuti?
Lebih daripada itu, kali terakhir BN mengadakan konvensyen
seperti ini ialah 12 tahun lalu.
Sebelum PRU14 tidak diadakan konvensyen, mengapa untuk PRU15 ini
begitu penting BN berkonvensyen?
Dengan sebelum ini tekanan kepada Ismail Sabri hanya dilakukan
melalui pentas UMNO termasuk meminda perlembagaan parti, Zahid Hamidi, Najib
dan Tok Mat melalui konvensyen ini cuba membawa parti komponen BN yang lain
untuk bersikap senada dengan kehendak mereka.
Ketiga-ketiga pemimpin UMNO itu juga dalam ucapannya saling
mengatakan bahawa sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk diadakan PRU15.
Najib malah mengimbas kesilapannya menangguhkan PRU14 lalu
sehingga akhirnya menyebabkan BN buat pertama kali tumbang serta hilang
kekuasaan.
Menurut Najib lagi, Parlimen ketika itu sepatutnya dibubarkan
pada 2017 selepas Sukan SEA, tetapi kerana beliau menangguhkannya sehingga Mei
2018, maka itulah yang menyumbang kepada kekalahan itu.
Dengan mengingatkan Ismail Sabri agar mengambil iktibar daripada
kesilapannya, Najib menekankan tiada pilihan lain selain PRU15 mesti diadakan
dalam waktu terdekat ini jika BN betul-betul inginkan kemenangan.
Faktor masa dalam membubarkan Parlimen ketika itu hanyalah asbab
kecil yang menyebabkan kekalahan BN, tetapi sebab utama dan terbesar sekali
ialah berikutan timbunan kebencian yang kian meninggi terhadap kepimpinan Najib
sendiri, terutama kerana skandal 1MDB, kemewahan keluarganya serta karenah demi
karenah yang ditunjukkan oleh isterinya, Rosmah Mansor.
PRU14 , sama ada diadakan pada 2017 atau 2018, kemungkinan BN
kalah dan hilang kuasa tetap ada.
Tetapi, jika tiada skandal 1MDB, tiada kemewahan di sana sini
dan Rosmah pula berwatak seperti isteri-isteri Perdana Menteri sebelumnya,
khususnya isteri Tun Razak, isteri Tun Hussein dan isteri Tun Mahathir,
kemungkinan BN kalah tidak mungkin wujud sama sekali.
Tambahan lagi, kesombongan dengan kuasa waktu itu begitu ketara
sekali di mana isu 1MDB tidak dibenar diperkatakan di Parlimen dan semua
perkara cuba ditutup dengan keangkuhan, selain mereka yang mengkritik akan
dipecat atau ditangkap.
Dalam hal ini, tindakan Najib memainkan isu masa dalam konteks
pembubaran Parlimen tidak lebih hanya bertujuan mengaburi mata orangramai dan
menutup kesilapan serta kesalahan masa lalunya.
Hakikatnya, kekalahan BN pada 2018 itu lebih banyak, kalau pun
tidak semua, adalah disebabkan isu-isu yang melingkari batang tubuh Najib
sendiri.
Rakyat pada ketika itu mahu menumbangkan Najib bukan setakat
mahu menanggalkan kuasa dalam tangannya, bahkan sampai ke tahap ingin
melihatnya masuk penjara.
Ini berbeza dengan Ismail Sabri yang tiada sama sekali
dibebankan dengan isu-isu seperti Najib itu.
Dengan itu, menangguhkan lagi tarikh PRU15 mungkin membuatkan
Ismail Sabri mampu meraih sokongan lebih baik daripada rakyat, terutama jika
isu kos sara hidup, inflasi dan kenaikan harga barang dapat ditangani dengan
baik.
Sebaliknya, mempercepatkan tarikh PRU15 dalam keadaan rakyat
sedar bahawa kluster mahkamah masih memegang papan catur dalam UMNO dan BN yang
ia difahami lebih bersifat untuk menyelamatkan nasib diri mereka sendiri
berbanding keuntungan dari segi kesejahteraan kepada rakyat, ia mungkin
menyebabkan hukuman seperti 2018 berulang kembali.
Sebab itu, adalah penting untuk Ismail Sabri kekal sabar, tenang
dan jangan mudah terpedaya dengan mereka yang ada agenda peribadi di sebalik
terus menerus mendesak mahu Parlimen dibubarkan dan PRU15 disegerakan.
Sebagai Perdana Menteri, banyak penilaian, data, maklumat dan
angka yang lebih rasmi harus beliau ambil kira untuk menentukan waktu yang
sesuai bagi membubarkan Parlimen agar kemenangan yang ingin dicapai benar-benar
tidak tersasar.
Penilaian dan sembang kencang tentang kemenangan daripada orang
yang hari-hari turun naik mahkamah – senang cakap – lebih banyak tak boleh
pakai daripada berguna untuk seorang Perdana Menteri yang keutamaannya adalah
kesejahteraan rakyat dan masa depan negara. – ShahbudinHusin 02/06/2022.