Penangguhan Kongres Nasional KEADILAN ke 16 ke tarikh 15 - 17 Julai depan dijangka memberi ruang waktu yang kondusif untuk kiraan Undi Ragu.
Menurut calon Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Rodziah Ismail, beliau bersama pasukannya sehingga kini kekal komited untuk meneruskan kiraan Undi Ragu di Ibu Pejabat KEADILAN, Petaling Jaya.
Biar pun sehingga kini, katanya, kiraan masih berbaki sejumlah besar Undi Ragu yang perlu disemak pada setiap negeri.
"Itu bermakna prosedur sedia ada akan mengambil masa beberapa hari lagi. Dalam perkembangan lain, Kongres yang ditangguhkan boleh memberi ruang kondusif bagi kiraan ini," katanya.
Bagaimanapu, kata beliau, tiada apa-apa dampak ketara kepada keputusan Pemilihan KEADILAN 2022.
Rodziah berkata, beliau masih bertahan di kedudukan tidak rasmi sebagai Ketua Wanita.
"Walau apa pun situasinya, kami tetap akan bersama tim Jawatankuasa Pemilihan Parti menyempurnakan kiraan hingga selesai.
"Memang penat. Oleh sebab itu, fokus kita perlu jelas," katanya.
Tegas beliau, daripada terus menunggu keputusan Pemilihan KEADILAN 2022 sebaik baiknya anggota bawahan KEADILAN telah mula beransur ansur melakukan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 yang dijangkakan tidak lama lagi.
"Jadi, apa fokus kita ?
"Niat yang paling penting. Fokuskan niat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai calon yang perlu beri kerjasama dalam setiap situasi.
"Inilah salah satu bentuk servis kepada parti. Hasrat kemenangan di hujung nanti sama pentingnya dengan niat tulus menjalani prosedur ini.
"Ketahanan jiwa, raga dan tetap berpegang kepada aspirasi perjuangan dalam setiap keadaan dan ini adalah ciri konsisten yang saya ingin terapkan dalam Wanita KEADILAN.
"Wanita perlu konsisten. Untuk konsisten, perlu fokus," katanya.,