Kerajaan BN - PN yang sibuk mencatur
kuasa dinasihatkan agar lebih prihatin terhadap derita rakyat marhaen.
Bagi aktivis KEADILAN, Danish Hairudin,
kecamukan politik berikutan perebutan kuasa dan terdesaknya golongan kluster
mahkamah untuk mengadakan pilihan raya umum segera telah menenggelamkan tumpuan
bagi memperbaiki ekonomi harian rakyat.
Katanya, kerajaan seolah olah tidak
berminat berusaha bagi mengawal tekanan inflasi yang melampau ketika ini.
"Penurunan ringgit menjadikan kos
sara hidup tinggi, yang berpunca dari kos import melambung.
"Penggunaan isi rumah terutamanya
bahan makanan utama terlalu bergantung kepada barangan import.
"Hal ini akan menyebabkan kos sara
hidup menjadi tertekan selepas berhadapan dengan pendapatan nominal isi rumah
yang rendah.
"Harga barang akan naik lagi
sekiranya ringgit kekal lemah terutamanya pada barangan yang diimport seperti
beras. Ini secara langsung akan menyebabkan kos barangan serta kadar inflasi
meningkat dan membebankan lagi rakyat," katanya.
Menurut Danish lagi, daripada terus
mencatur politik sebaiknya kerajaan BN - PN mengkaji untuk lebih banyak
mengeluarkan bahan makanan dalam negara bagi mengelakkan terlalu bergantung
kepada import yang berjumlah RM50 bilion setahun.
Begitu juga barang keperluan harian
rakyat yang lain yang bahan mentahnya banyak di dalam negara.
"Kerajaan harus meningkatkan
pengeluaran barangan tempatan. Tetapi hari ini parti pemerintah BN dan PN sibuk
bertelagah tentang tarikh untuk diadakan Pilihan Raya Umum. Mereka sibuk
mencatur kuasa sedangkan mereka masih berkuasa mentadbir Kerajaan Persekutuan
dan akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.
"Penguasa sepatutnya menyelesaikan
kos sara hidup dan kadar inflasi yang melonjak dengan sangat pantas. Sebagai
Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri daripada Umno yang
dikatakan 'hebat' sepatunya tiada sebarang halangan untuk melakukan pelan
jangka masa pendek menyelesaikan kemelut kehidupan rakyat," katanya.
Danish turut membidas retorik politik
Umno yang sering melaungkan kestabilan demi rakyat.
Hakikatnya, kata beliau, rakyat di
bawah mengalami kesukaran hidup dan tidak ada guna kestabilan politik tetapi
mereka hari hari mengikat perut.
Beliau berkata, rakyat semakin tidak
berpuas hati kerana sesetengah pemimpin hanya sibuk menjaga pemimpin tertinggi
Umno yang menghadapi masalah di mahkamah.
"Tanggungjawab menjaga kebajikan
rakyat adalah keutamaan pemimpin negara, bukannya menjaga kepentingan
sesetengah individu yang sedang berdepan pertuduhan jenayah.
"Fokus utama seharusnya memulihkan
negara daripada kesenjangan ekonomi. Perlu satu langkah inklusif dan libat urus
dengan semua pemegang taruh termasuk parti pemerintah dan pembangkang serta
pakar ekonomi bagi mengelakkan negara terjerumus dalam masalah ekonomi yang
lebih parah," katanya lagi.