Keputusan Pemilihan PKR ditunda, audit digital dilakukan
Keputusan Pemilihan KEADILAN 2022 terpaksa ditunda setelah mendapati beberapa masalah dalam sistem pengundian yang digunakan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa, keputusan tidak rasmi bagi peringkat cabang dan pimpinan utama Majlis Pimpinan Pusat yang telah diumumkan pada 29 Mei lalu dengan itu masih di dalam proses penelitian untuk keputusan muktamad dikeluarkan.
Hal itu, katanya, menyebabkan peringkat cabang memerlukan waktu yang lebih panjang bagi membolehkan jawatankuasa cabang dipilih, bermesyuarat dan bersedia menghantar perwakilan ke Kongres Nasional seperti yang dijadualkan.
“Dengan ini panel Aduan Pemilihan KEADILAN 2022 akan terus meneliti aduan-aduan yang diberikan oleh anggota anggota parti melalui saluran rasmi JPP.
“Panel Aduan JPP 2022 juga mencadangkan beberapa cadangan tindakan yang mungkin boleh mengubah keputusan tidak rasmi sebelum ini.
“Bertitik tolak dari cadangan Panel Aduan, JPP telah bersetuju untuk mendapatkan khidmat Pakar Digital yang kepakaran mereka adalah untuk melaksanakan audit secara menyeluruh terhadap sistem yang dibangunkan, dan mereka kini sedang bertungkus lumus untuk memenuhi garis masa yang telah ditetapkan,” kata Dr Zaliha dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, JPP memerlukan sedikit waktu untuk Juruaudit Pakar Digital yang dilantik berkenaan menjalankan kerja dan memberikan syor. Hal itu akan mengakibatkan kongres nasional terpaksa ditunda.
“JPP berpuashati dengan kemajuan kerja-kerja Juruaudit Pakar Digital yang dilantik dan yakin bahawa dapatan yang akan dikemukakan kelak akan dapat memberi penjelasan kepada persoalan-persoalan serta kecelaruan pemahaman yang timbul dan ditimbulkan oleh pengadu-pengadu.
“JPP memerlukan sedikit masa lagi untuk tujuan ini sebelum memberikan senarai pemenang Pemilihan KEADILAN 2022 di peringkat pimpinan KEADILAN cabang, Wanita KEADILAN cabang dan Angkatan Muda KEADILAN cabang, serta di peringkat Pusat yang sudah dimuktamadkan, dan rasmi kepada pejabat Setiausaha Agung untuk tujuan memuktamadkan perwakilan-perwakilan yang akan hadir ke Kongres Nasional kelak,” kata Dr Zaliha lagi.
Berikutan syor yang dikemukakan oleh JPP itu, Majlis Pimpinan Pusat malam tadi memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional KEADILAN 2022 dari 24 – 25 Jun ini ke tarikh 16 -17 Julai 2022.