Kali ini elok PH pula tetapkan syarat Tun M bersara politik
Kerjasama terbaharu yang ditawarkan Tun Mahathir Mohamad kepada parti pembangkang termasuk Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya diletak syarat tertentu sekiranya bekas Perdana Menteri itu ikhlas mahu menyelamatkan negara.
Mantan Senator Datuk Husam Musa menolak syarat terbaharu yang diletakkan oleh Mahathir untuk sekali lagi berkerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.
“Kenapa setiap masa orang kena ikut syarat Tun sahaja? Selalu orang kena ikut syarat dia. Tak bolehkah sesekali Tun ikut syarat orang lain pula.
“Kali ini kalau kamu betul betul fikir rakyat Malaysia menderita harga barang naik, ekonomi rapuh, apa sahaja boleh berlaku kepada ekonomi, hutang negara banyak, orang cari makan susah, orang kampung kuasa beli sudah jatuh, maka kenapa kita kenakan banyak syarat?” tanyanya dalam sidang media semalam.
Mantan Exco Kelantan yang pernah agak rapat dengan Tun menjelang PRU 14 lalu itu meragui tujuan sebenar kerjasama yang ditawarkan Pejuang sama ada ingin menyelamatkan negara atau mengutamakan individu tertentu dalam politik.
“Kamu nak selamatkan negara atau kamu nak letakkan diri dalam percaturan kuasa? Kalau nak utamakan negara tak perlu syarat. Apa masalah dengan Anwar atau Muhyiddin kalau nak berkorban untuk negara?
“Kalau syarat nak kerjasama dengan Pejuang (pembangkang beri kata dua) Tun bersara, apa salahnya (adakah diterima),” kata pemimpin Amanah itu lagi.
Kerjasama terbaharu antara Pejuang dan PH timbul apabila Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir baru baru ini mengakui partinya telah mengadakan rundingan tidak rasmi bersama parti parti pembangkang kecuali KEADILAN.
Bagaimanapun kerjasama itu menempuh jalan sukar apabila Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memberi amaran sekiranya Pejuang tidak mengiktiraf kepimpinan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim maka tiada sebarang kerjasama boleh diwujudkan.