Guna tanah GLC, bukan hutan simpan untuk tanam jagung
Projek penanaman jagung untuk menghasilkan makanan ternak inisiatif kerajaan Selangor bagi mengelakkan negara terlalu bergantung kepada import ketika ini amat dialu alukan.
Namun menurut Setiausaha Otai Reformis 1998, Razak Ismail, timbul persoalan apakah tidak mungkin projek tanaman jagung itu dilakukan di tanah simpanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor daripada menggunakan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan sebagaimana yang dicadangkan.
Katanya, beliau khuatir sekiranya bekalan jagung dunia kembali pulih selepas berakhir perang Rusia – Ukraine maka projek tersebut tidak berdaya maju dan mungkin ditinggalkan.
“Otai berpandangan projek secara adhoc tanpa perancangan jangka panjang yang rapi ini bakal “mengorbankan” status hutan simpan tersebut kerana kami berpandangan setelah harga jagung di pasaran dunia stabil dan berlakunya lambakan bekalan maka projek tanaman jagung akan tidak releven lagi kerana bekalan jagung untuk makanan ayam boleh diperolehi dengan harga murah di pasaran terbuka,” katanya.
Bagaimanapun masalah yang mungkin dihadapi, tambah Razak, ialah hutan simpan yang telah dijadikan ladang barangkali akan bertukar menjadi projek pembangunan.
Oleh itu, beliau mencadangkan agar lebih baik Kerajaan Negeri menggunakan tanah kerajaan yang tidak berstatus hutan simpan seperti di Bestari Jaya atau tanah di kawasan Fruit Valley di Ijok yang dimiliki kerajaan atau GLC.
Selain masih tidak ada perancangan projek pembangunan, katanya, tanah tanah tersebut ‘terbiar’ ditumbuhi hutan rimba
“Kita juga dimaklumkan bahawa setakat 21 Januari 2022 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mempunyai bank tanah (land bank) seluas 2,417 hektar tanah yang masih belum digunakan dan sewajarnya tanah-tanah ini digunakan untuk projek tanam jagung,” kata beliau lagi.
Selain itu, Razak juga mengingatkan bahawa Otai masih menunggu janji kerajaan Selangor untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang sepatutnya telah dibuat sebelum Hari Raya Aidil Fitri.
Janji tersebut, kata Razak perlu ditunaikan bagi memastikan negeri Selangor mempunyai jumlah keluasan hutan yang mencukupi menseimbangkan pembangunan struktur dan rizab kawasan hijau.