Marah benar Ahli MT UMNO, Zahidi Zainal Abidin terhadap sikap Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang enggan melayan memorandum bantahan Pemuda UMNO berhubung isu Digital Nasional Berhad yang melaksanakan rangkaian 5G ke seluruh negara.
Berikutan memo itu diserahkan kepadanya selaku Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi lalu berjumpa dengan Tengku Zafrul untuk meminta penjelasan.
Bagaimanapun, sebagaimana disebut oleh Zahidi seperti dilaporkan media, Tengku Zafrul enggan melayan atau memberi penjelasan berhubung bantahan yang dikemukakan Pemuda UMNO itu.
Malah beliau seolah-olah mencabar pula mereka untuk berlawan dengan kuasa yang dimilikinya selaku Menteri Kewangan.
“Saya wakil MKT ingin mendapat penjelasan pasal isu memorandum, dia (Tengku Zafrul) tak mahu dengar, nak lawan kita lawan…itu jawapan dia,” ujar Zahidi.
Sehubungan dengannya, Ahli Parlimen Padang Besar itu menggesa MT UMNO melakukan sesuatu dan memanjangkan kepada kabinet agar Tengku Zafrul ditukar sebagai Menteri Kewangan.
“Pasal Menteri Kewangan ini saya dah minta dalam mesyuarat kalau boleh kita tukarkan beliau sebagai Menteri Kewangan,” tambah Zahidi lagi.
Meskipun bukan kuasa MT UMNO untuk mencadangkan pertukaran mana-mana menteri, tetapi apa yang dilakukan Zahidi adalah manifestasi rasa marahnya yang tertahan lagi.
Jika benarlah itu sikap Tengku Zafrul dalam berhadapan atau melayan memorandum bantahan daripada Pemuda UMNO yang disampaikan oleh seorang ahli MT dan timbalan menteri, ia bukan saja sesuatu yang tidak wajar, malah boleh dianggap keterlaluan.
Bagaimana boleh seorang menteri yang gajinya dibayar melalui titik peluh dan cukai rakyat boleh bersikap sombong dan tidak melayan rintihan daripada rakyat?
Dengan bersikap demikian, Tengku Zafrul selain tidak layak menjadi Menteri Kewangan, bahkan juga tidak wajar sama sekali memegang apa-apa jawatan berkaitan kepentingan awam.
Seseorang yang memegang jawatan berkaitan kepentingan awam yang gajinya dibayar daripada hasil titik peluh rakyat semestinya perlu berkhidmat setulus hati untuk kepentingan rakyat.
Lebih daripada itu, melalui sikap Tengku Zafrul yang didedahkan Zahidi itu, beliau juga jelas tidak hormat kepada UMNO sebagai sebuah parti yang mewakili rakyat.
Sedemikian, UMNO tidak harus memberi sebarang ruang atau laluan kepadanya untuk bertanding di Parlimen Kuala Selangor atas tiket parti itu dalam PRU akan datang sebagaimana minat yang ditunjukkannya kebelakangan ini.
Beliau tidak layak menumpang atas tiket UMNO kerana sikap kayangannya bertentangan dengan penampilan yang sewajarnya bagi seseorang pemimpin yang hendak mewakili parti akar umbi yang tidak dapat lari daripada sentiasa membela kepentingan rakyat.
Kalau memorandun Pemuda UMNO pun tidak dilayannya, lagi jadi mangsa pengundi marhaen Kuala Selangor dengan berwakilkan beliau sebagai Ahli Parlimen kawasan itu. – ShahbudinHusin 26/06/2022.