BN jangan laksana GST ketika ekonomi merudum
Pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seandainya BN menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 semakin kerap diperbincangkan dalam kalangan rakyat.
Meskipun Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz membayangkan jika GST dilaksanakan semula maka cukai itu akan ditambahbaik, namun majoriti rakyat menolak percukaian regresif untuk menambah hasil negara akibat kelemahan pentadbiran BN.
Bagi Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, GST bukanlah pilihan terbaik sewaktu mula dilaksanakan pada 2016 dahulu yang menaikkan harga barang, maka cukai berkenaan juga tidak boleh dipertimbangkang ketika ekonomi rakyat merosot teruk pada waktu ini.
“Pelaksanaan GST memang akan menambah hasil kepada kerajaan tetapi yang bayar cukai itu adalah rakyat sebagai pengguna.
“Cukai ini hanya akan memberi tekanan ketara kepada golongan miskin dan B40 yang sekarang menghadapi kenaikan kos makanan (dan barang keperluan) yang tinggi,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Wong Chen lagi, perkara paling malang sekiranya dilaksanakan semula ialah dana hasil GST akan turut sama digunakan untuk menutup ketirisan pentadbiran kerajaan BN yang kebelakangan ini dilihat kembali dibelenggu penyakit lama seperti korupsi dan kronisme.
Katanya, GST juga akan mengurangkan kuasa beli rakyat berikutan harga barang dijangka naik sekali lagi secara keseluruhan
Dari segi jangka panjang pula, kata Wong Chen, keadaan itu akan menghambat pemulihan ekonomi negara selepas pandemik Covid 19.
“Perkara ini menjadi lebih rumit apabila wang GST akan digunakan oleh kerajaan yang mengalami ketirisan (membayar hutang) dan rasuah yang berterusan.
“GST tidak wajar diamalkan pada masa ini di mana ekonomi lembab dan kehidupan golongan B40 masih belum pulih daripada Covid-19,” katanya kepada Suara Keadilan.
Pakar ekonomi membayangkan GST akan dilaksanakan dalam tempoh 9 bulan sekiranya BN menang dalam PRU 15.
Berbanding tempoh beberapa tahun ketika GST mula dilaksanakan, tempoh kuatkuasa semula dijangka lebih singkat memandangkan peniaga telah pun mempunyai sistem perakaunan dan peralatan sokongan untuk mengira cukai berkenaan.