Usai pemilihan parti, fokus pada PRU15, PKR diberitahu


facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Syed Husin Ali berpendapat, pendirian Rafizi Ramli yang keras
 menentang pendekatan ‘khemah besar’ tidak akan mengakibatkan
 perselisihan dalam PKR, tetapi ‘sedikit kesukaran’ dijangka berlaku.

PETALING JAYA: Seorang veteran PKR menggesa kepimpinan parti mengadakan perbincangan mengenai pendekatannya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) memandangkan pemilihan parti itu kini telah selesai.

Bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali berkata, penting untuk kepimpinan mencapai persetujuan dalam isu seperti pendekatan “khemah besar” dan pembaharuan dalam parti.Katanya, pendirian bakal timbalan presiden Rafizi Ramli yang keras menentang pendekatan “khemah besar” tidak akan mengakibatkan perselisihan dalam PKR, tetapi beliau menjangkakan “sedikit kesukaran” akan berlaku.

“Walaupun parti akan berdepan beberapa kesukaran dari segi pendekatan berbeza antara Rafizi dan presiden parti, Anwar Ibrahim, saya percaya gabungan mereka cukup bagus untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi PRU15,” katanya kepada FMT.Ad

“Khemah besar” adalah istilah yang digunakan dalam menyatukan semua parti pembangkang untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Rafizi berulang kali menolak pendekatan ini kerana menganggap telah tiba masanya parti “bermula dari sifar” untuk memenangi hati pengundi, berbanding bekerjasama dengan parti lain dalam usaha merampas semula Putrajaya.

Abdul Razak Ismail daripada pertubuhan Otai Reformis, iaitu kumpulan penyokong veteran PKR yang taat kepada Anwar berkata, akar umbi parti menentang pendekatan “khemah besar” kerana berpotensi mengakibatkan gabungan yang “lemah”.

Katanya, pendekatan itu membawa risiko berulangnya Langkah Sheraton yang mencetuskan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan memerintah dua tahun lepas yang turut menyaksikan Bersatu meninggalkan gabungan itu.

Langkah Sheraton turut menyaksikan beberapa ahli PKR dipecat termasuk bekas timbalan presiden Azmin Ali, seterusnya mengakibatkan kekosongan dalam kepimpinan.

Bagaimanapun, Abdul Razak percaya kekosongan itu telah diisi dengan pemilihan kepimpinan baru-baru ini dan PKR kini dalam kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan besar berkaitan parti itu.