Sebahagian daripada mereka yang tinggal di ibukota sekarang ini sudah pun berada di kampung masing-masing untuk menyambut hari raya yang dijangka disambut pada hari Selasa.
Setelah dua tahun tidak dapat pulang berhari raya kerana kekangan PKP, kepulangan ke kampung pada tahun ini tentu saja amat-amat menggembirakan semua.
Lebih berganda lagi kegembiraan tahun ini ialah kerana selain dibenarkan mengeluarkan caruman KWSP sebanyak RM10 ribu, tol di laluan lebuhraya utama itu juga diumumkan percuma.
Di samping tol percuma di lebuhraya utama, banyak lebuhraya lain turut memberi potongan sebanyak 50 peratus dan ianya terpakai untuk semua jenis kenderaan.
Tol percuma dan diskaun itu berkuatkuasa selama tiga hari sebelum ketibaan hari raya dan dua hari lagi pada hujung minggu depan ketika mereka mahu kembali ke ibu kota semula.
Bagi rakyat kebanyakan, ini adalah hadiah paling menggembirakan untuk hari raya tahun ini.
Beberapa saudara mara dan kawan-kawan tidak menyembunyikan kegembiraan mereka dapat pulang ke kampung berhari raya dengan tol percuma pada kali ini.
Meskipun ada kesesakan jalanraya, ianya terubat dengan tol percuma itu.
Mengimbas tentang tindakan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tol percuma dan diskaun sehingga 50 peratus pada tahun ini, semua ini sebenarnya adalah petanda kelemahan dan kegagalan Tun Mahathir Mohamad selama memimpin kerajaan PH selama 22 bulan sebelum ini.
Kalaulah janji menghapuskan tol benar-benar ditunaikan setelah PH berjaya menjadi kerajaan sebagaimana ianya telah dimanifestokan dalam PRU14 lalu, Ismail Sabri mungkin tiada peluang langsung mengumumkan tol percuma dan diskaun 50 peratus untuk hari raya tahun ini.
Tetapi, disebabkan kegagalan Tun Mahathir itu, malah melukakan hati rakyat dengan mengatakan “manifesto bukan kitab suci”, itulah yang menyebabkan bermulanya penolakan serta bercambahnya kebencian.
Apa yang berlaku selebihnya kepada PH dan Tun Mahathir adalah suatu sejarah, tetapi banyak iktibar yang boleh diambil daripadanya.
Bayangkan, dapat tol percuma untuk hari raya pun sudah cukup membuatkan rakyat gembira, apatah lagi jika percuma buat selama-lamanya?
Dalam hal ini, di samping pengajarannya ialah jangan main-main dengan janji kepada rakyat, kita juga jangan sesekali bersikap khianat dan tikam kawan sendiri apabil beroleh kuasa.
Hari ini, dengan apa yang dilakukan Ismail Sabri berkaitan tol itu, tidak dinafikan beliau telah meraih laba politik yang lumayan daripadanya, di samping merupakan pukulan terhadap kegagalan Tun Mahathir.
Ia bukan salah Ismail Sabri kerana sebagai Perdana Menteri yang telah dinamakan UMNO sebagai “poster boy” bagi menghadapi PRU15 datang, selain tugasnya ialah memberi kesejahteraan kepada rakyat, beliau juga semestinya akan berbuat sesuatu yang boleh membuatkannya disukai serta menambah undi buat dirinya.
Siapa yang tidak mahu kekal lebih lama sebagai Perdana Menteri?
Maka, turut dipercayai, banyak lagi pengumuman yang akan melegakan hati rakyat akan dilakukan Ismail Sabri selepas ini.
Semua orang yang jadi Perdana Menteri pasti akan berbuat hal yang sama, kecuali Tun Mahathir dan menteri-menteri kabinet dalam kerajaan PH yang tidak berani berbuat sesuatu untuk memperingatkan Perdana Menteri tentang janji manifesto ketika itu.
Ada kawan dalam UMNO berkata, kalau PRU14 dulu antara sebab yang memenangkan PH ialah janji tol percuma beserta mungkin beberapa sebab yang lain, tol percuma di hari raya yang diumumkan Ismail Sabri tahun ini tidak mustahil menjadikannya mampu kekal lagi sebagai Perdana Menteri. – ShahbudinHusin 01/05/2022.