SPRM mesti kembalikan dana negara dirompak
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus mengambil tindakan segera untuk memperolehi setiap dana negara yang diselewengkan melalui skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menyambut baik pengumuman Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki terkait isu berkenaan semalam.
“Saya menggesa SPRM mengambil tindakan pantas mengenai isu ini kerana ia melibatkan sikap kita terhadap rasuah dan penyelewengan dana awam oleh penguasa perasuah.
“SPRM juga perlu terus membongkar dan bertindak ke atas petualang perompak dana rakyat tatkala pandemik menyerang sejak 2 tahun lalu,” katanya.
Tegas Anwar, sikap dan integriti yang ditunjukkan negara dalam melawan rasuah adalah kunci keyakinan masyarakat antarabangsa dan memudahkan negara untuk menarik pelaburan luar bagi memulihkan ekonomi yang tidak menentu.
“Sikap tegas kita terhadap rasuah dan salahguna kuasa adalah cerminan integriti masyarakat yang tinggi, dan tidak harus ada kompromi sama sekali dalam hal melibatkan integriti,” katanya lagi.