\
Ringgit jatuh: Rakyat Singapura yang untung?
Kejatuhan nilai ringgit yang semakin merosot berbanding Dolar Singapura menyebabkan harga barang di Johor meningkat akibat kuasa beli rakyat republik berkenaan berbanding warga tempatan.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, hal itu hakikatnya telah meningkatkan jualan kepada peniaga di Johor tetapi menyukarkan kehidupan penduduk biasa.
“Kelmarin, Khamis 5 Mei 2022 satu Dolar Singapura bersamaan RM3.16. Perbezaan yang besar ini memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia, khususnya di Johor Bahru.
“Sejak sempadan Malaysia – Singapura dibuka pada 1 April ribuan rakyat Singapura masuk ke negara ini dan berbelanja di Johor Bahru.
“Nilai Ringgit Malaysia yang rendah berbanding dolar menjadikan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia begitu murah,” katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut beliau lagi, kuasa beli rakyat Singapura yang jauh lebih besar amat mempengaruhi peningkatan harga barangan di kawasan Johor yang bersempadan dengan republik berkenaan.
Hal itu menyebabkan rakyat marhaen Johor menghadapi tekanan harga akibat permintaan tinggi barang keperluan dari warganegara jiran.
“Bagi para peniaga kecil dan besar di Johor Bahru khususnya, kedatangan rakyat Singapura memberi keuntungan kepada peniagaan mereka, satu hal yang amat positif berbanding perniagaan yang menguncup semasa tempoh pandemik Covid-19 selama dua tahun lalu.
“Namun bagi para pengguna dan rakyat biasa Malaysia, mereka terpaksa menghadapi saingan dari rakyat Singapura yang tiada masalah dengan kenaikan harga barangan yang di luar kawalan, kerana kemampuan mereka berbanding rakyat tempatan yang berpendapatan rendah.
“Ini adalah simptom yang terjadi apabila mata wang Malaysia jatuh merosot berbanding Dolar Singapura,” katanya.
Hassan bertanya apakah sebab kejatuhan berterusan nilai Ringgit sejak 2020 lalu?
Katanya, kejatuhan itu berkait rapat dengan dengan faktor hutang negara yang melambung tinggi dan kekurangan penanaman modal menyebabkan ekonomi tidak berkembang.
“Pada tahun 2018 hutang negara berjumlah RM686 bilion. Pada akhir tahun 2021 hutang negara telah meningkat menjadi lebih RM1 trilion. Peningkatan sebanyak RM320 bilion.
“Hutang mesti dibayar jika tidak Malaysia akan jadi muflis atau bankrap. Untuk bayar faedah sahaja, Kerajaan terpaksa bayar RM42 bilion setahun. Bukan bayar pokok, tetapi bayar bunga.
“Manakala pendapatan negara tidak berkembang. Ini memberi kesan pada nilai Ringgit,” katanya lagi.
Dengan pertumbuhan ekonomi yang kecil dan pelaburan langsung asing yang sedikit maka, menurut Hassan, Malaysia bukan lagi negara yang menarik untuk penanaman modal.
Hal itu, katanya menyebabkan nilai Ringgit terus tertekan sebaik sahaja kerajaan reformasi Pakatan Harapan digulingkan pada Februari 2020.