PERLUKAH LAGI RAFIZI DIPROMOSI SETIAP HARI?

 


Walaupun debat Berani Semuka antara Rafizi Ramli dengan Saifuddin Nasution Ismail bukan bertujuan mencari siapa pemenang antara keduanya, tetapi tanpa keraguan lagi, dari segi kemampuan melontarkan hujah dan menyerlahkan keyakinan terhadap kemampuan diri sebagai pemimpin, bekas Ahli Parlimen Pandan itu jelas tampak di hadapan.

Begitu pun, oleh kerana saya tidak mahu dianggap terus menerus mempromosi Rafizi setiap hari sebagaimana ucapan Saifuddin Nasution mengenai saya beberapa hari lalu, maka saya telah menghubungi lebih 20 orang rakan untuk mengetahui apa pandangan atau kesimpulan mereka berkenaan debat tersebut.

Mereka yang dihubungi ada daripada PKR, UMNO dan Bersatu, bekas Ahli Parlimen, aktivis politik yang aktif di media sosial serta pemerhati biasa yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa.

Juga tidak terkecuali saya turut meminta pandangan dua anak saudara saya, seorang yang telah bekerja tidak sampai setahun setelah tamat pengajian, manakala seorang lagi masih bergelar siswa di mana kedua-dua mereka ini amat berminat dengan perkembangan dunia politik.

Video Player
00:00
00:13

Kesimpulan daripada semua pandangan yang diperolehi itu ialah Rafizi bukan saja dilihat berjaya menampilkan beliau seorang pemimpin yang ada idea untuk rakyat dan negara melalui debat itu, malah turut berjaya memperlihatkan sikapnya yang agresif, tangkas dan ingin melawan itu lebih sesuai mendampingi Anwar Ibrahim bagi memantapkan lagi PKR mendepani PRU15 akan datang.

Keyakinan beliau dengan sikap terus melawan dan memperjuangkan isu-isu rakyat itu mampu menjadikan PH sebagai blok yang memenangi kerusi terbanyak dalam PRU15 nanti, ini sekaligus dianggap sebagai berita gembira serta gambaran cerah kepada laluan masa depan Anwar sendiri.

Berbanding berunding dan mencari khemah kecil atau besar yang belum tentu memberi apa-apa jaminan, bahkan mungkin menyulitkan lagi kesepakatan, melawan dan terus melawan hingga menang juga lebih sesuai dengan jiwa perjuangan PKR yang berslogankan ungkapan lawan tetap lawan dan lawan sampai menang.

Selepas itu, kalau mahu dan perlu berunding, maka berundinglah untuk membentuk kerajaan.

Tambahan lagi, jika sudah berjaya memperolehi kerusi Parlimen terbanyak misalnya, urusan berunding tentu saja lebih mudah untuk dilakukan berbanding berunding dalam kesamaran kedudukan.

Semua mereka yang saya hubungi itu memberi kredit kepada Rafizi atas penampilannya yang memperlihatkan beliau seorang pemimpin yang sarat dengan idea, tenang serta relaks dan mereka tidak ragu-ragu memilih beliau mempunyai kelebihan untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR berbanding Saifuddin yang dalam debat semalam terlihat ada keserabutan dalam wajahnya.

Kata seorang daripada mereka yang dihubungi, jika debat itu menjadi ukuran dan boleh mempengaruhi ahli-ahli PKR yang bakal mengundi, tidak syak lagi Rafizi adalah pilihan tunggal yang wajib dimenangkan bagi jawatan Timbalan Presiden.

Pilihan selainnya, ujar beliau, hanya menampakkan jalan kabur dan terus berliku-liku, tidak saja untuk PKR dan PH, tetapi juga untuk Anwar.

Lebih daripada itu, dua anak saudara saya yang menonton debat semalam juga berhasrat untuk menyertai PKR dengan segera selepas ini jika gandingan Anwar – Rafizi dalam parti itu benar-benar menjadi kenyataan.

Lihatlah…baru melalui penampilan debat saja pun Rafizi sudah berjaya memberi banyak harapan, bayangkan jika selepas beliau menang kerusi Timbalan Presiden?

Perlukah lagi Rafizi dipromosi setiap hari selepas ini? – ShahbudinHusin 12/05/2022.