Pemilihan PKR: Pilih calon yang satukan parti
Pemilihan KEADILAN 2022 diadakan dalam beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 berlangsung.
Oleh itu, menurut calon Naib Presiden KEADILAN, Fahmi Fadzil, anggota parti kali ini perlu memilih calon yang boleh bekerja dengan baik bersama presiden dan menyatukan padukan parti dalam menghadapi musuh bersama
“Kita kena pandang ke depan, mungkin dalam masa beberapa bulan, mungkin hingga September tahun depan, kita menghadapi PRU, jadi pemilihan ini diadakan untuk melengkapkan saf kepimpinan kita.
“Jadi yang akan mengundi, secara fizikal, secara online pada 17 – 20 Mei dan seterusnya. Di saat ini kita kena pastikan pimpinan yang kita pilihan bukan sahaja tepat, tetapi mampu merangkul seluruh kekuatan KEADILAN, kerana ‘kita semua KEADILAN’. Jadi kita perlukan tokoh, rakan seperjuangan untuk mambangkitkan parti
“Kita satu satunya parti yang benar benar rencam dan pelbagai. Kita adalah parti masa depan. Untuk memastikan KEADILAN ada masa depan cerah kita perlu pastikan parti mempunyai pimpinan terbaik,” katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga bernostalgia bagaimana peritnya beliau mempertahankan parti pasca Langkah Sheraton apabila terpaksa meyakinkan saf pimpinan parti pembangkang lain mengenai keadaan dalaman KEADILAN.
Hanya yang beliau nampak bekerja kuat untuk mengukuhkan parti ketika itu adalah calon timbalan presiden yang tidak kenal penat dalam mengatur organisasi agar kekal utuh.
“Saya sangat terkesan bila Datuk Dolah mengungkap Langkah Sheraton. Saya berada di situ, dalam parti, ketika ramai yang telah meninggalkan parti. Sama ada mereka keluar, dipecat, atau tidak hadir untuk membantu membangkitkan semula parti.
“Pada waktu itu, ada satu sosok tubuh sahaja dalam kepimpinan yang benar benar siang, malam, pagi, petang berada membantu memastikan KEADILAN selamat di semua cabang dan pastikan KEADILAN unggul semula, tidak lain Datuk Seri Saifuddin
“Saya bersama beliau, kita pergi mesyuarat selamatkan keadaan, saya terlibat memohon sokongan kawan kawan dari saf pembangkang. Kalaulah pada waktu itu rakan rakan kita ada, kita mungkin lebih padu,” katanya.
Fahmi bertanding dengan nombor 9 pada pencalonan dan beliau berharap pemilihan kali ini tidak menimbulkan perpecahan sebagaimana pemilihan 2018 lalu