Chegubard mohon maaf
kerana fitnah Tony Pua
Diterbitkan: May 31, 2022 8:30 AM
⋅
Pemimpin Bersatu Johor, Badrul Hisham
Shaharin mengeluarkan permohonan maaf kepada Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua
dan menarik balik dakwaan fitnah yang dibuat terhadap pemimpin DAP itu dalam
dua hantaran berasingan pada 2019.
Badrul Hisham dalam catatan Facebook pada
Sabtu lalu berkata, dia menerima maklumat daripada individu yang terlibat dalam
kerajaan peringkat tertinggi, kononnya berkenaan perkara-perkara yang sedang
berlaku dalam kerajaan
Pada ketika Pua merupakan setiausaha politik
kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard
mengaku menulis hantaran Facebook pada 23 Ogos dan 5 Sept 2019, daripada
maklumat yang tidak disahkannya sendiri dan kemudiannya didapati mengandungi
dakwaan fitnah terhadap Pua.
ADS
“Maka sehubungan dengan ini saya meminta
maaf secara terbuka, menyesal dengan apa yang berlaku dan mengakui gagal membuktikan
apa yang dibangkitkan dalam siaran Facebook pertama dan siaran Facebook kedua
tersebut.
"Oleh demikian, saya ingin menarik
balik siaran Facebook pertama dan siaran Facebook kedua tersebut dan
dakwaan-dakwaan tersebut secara keseluruhan dan sepenuhnya.
"Saya juga amat menyesali tindakan saya
tersebut dan ingin memohon maaf dengan sepenuhnya kepada Yang Berhormat Tony
Pua Kiam Wee dan DAP atas perkataan-perkataan yang mungkin boleh disifatkan
fitnah dan dakwaan-dakwaan tersebut.
"Saya juga mengakujanji supaya tidak
mengulangi, menerbitkan atau menyiarkan semula perkataan-perkataan fitnah
dan/atau dakwaan-dakwaan tersebut,” katanya.
Pua pada Mac tahun lepas memfailkan saman fitnah terhadap Badrul Hisham kerana memfitnah
berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Sime
Darby Property.