Persoalan dan kritikan yang dilemparkan terhadap kewibawaan
Presiden KEADILAN dalam membawa cabaran Pakatan Harapan (PH) menuju Pilihan
Raya Umum (PRU) ke 15 seharusnya tidak dijadikan bahan perdebatan yang
berlarutan.
Menurut calon Naib Presiden KEADILAN, Mutaffa Kamil Ayub,
kewibawaan Anwar pada peringkat dalaman parti telah pun terbukti apabila tiada
pihak yang mencabar beliau dalam Pemilihan KEADILAN 2022
Katanya, sokongan padu yang ditunjukkan oleh 1.2 juta ahli
KEADILAN itu sudah cukup untuk mengangkat Anwar sebagai tokoh terulung PH,
apatah lagi berbekalkan pengalaman luas dalam gerakan rakyat di Malaysia.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding sebagai
Presiden KEADILAN dalam Pemilihan 2022. Ini membuktikan dukungan 100% anggota
KEADILAN terhadap kepemimpinannya bagi mengemudi parti menuju PRU 15.
"Datuk Seri Anwar punya sentuhan membina gelombang tersendiri
seperti ABIM pada suatu ketika, program-program pembelaan rakyat miskin serta
program-program Islam dalam kerajaan, pernah menyatukan pembangkang bersama
Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kemudiannya PH.
"Justeru menjelang PRU 15, sentuhan Datuk Seri Anwar sekali
lagi amat diperlukan. Walaupun ada yang cuba memperkecilnya lewat pengalaman
Pilihan Raya Negeri Melaka, Sarawak dan Johor, namun hakikatnya PRU 15
mempunyai latarbelakang nasional, pendekatan dan isu yang berbeza," kata
Mustaffa.
Bagi mantan Naib Presiden KEADILAN itu sebaik sahaja pemilihan
kali ini selesai, pasukan baharu kepimpinan sewajarnya menyelesaikan segera isu
persefahaman politik sama ada di dalam mahupun di luar PH untuk mengembalikan
gabungan itu ke tahap kekuatannya sebelum PRU 14 lalu.
"PRU 15 hanya beberapa bulan lagi. Pengundi Melayu dan muslim
memerlukan sentuhan yang lebih daripada pasukan Datuk Seri Anwar.
"Kerangka baharu persefahaman politik perlu lebih inklusif
dan menyeluruh dalam proses membentuk Kerajaan yang lebih stabil, berintegriti
dan dinamik dengan Datuk Seri Anwar selaku terajunya.
"Oleh itu, pelan strategik yang menyeluruh Menjana Kemenangan
PRU 15 diperlukan dan dilaksanakan bersungguh-sungguh bagi mencapai
kejayaan," katanya lagi.
Selain itu, tambah mantan Setiausaha Agung KEADILAN itu lagi,
Anwar adalah satu-satunya tokoh semasa yang mampu merealisasikan Agenda
Reformasi Malaysia dengan semangat Deklarasi Permatang Pauh, serta tunggak
Perlembagaan Negara Raja Berpelembagaan, Islam Agama Persekutuan, Hak Istimewa
Melayu serta pembelaan agenda rakyat disemarakkan.
Katanya, beliau yakin KEADILAN akan melakukan kebangkitan semula
selepas pemilihan ini apabila menemui formula kemenangan yang sesuai.