Ab Rauf nafi kepimpinan Umno Melaka bakal bertukar
ALOR GAJAH: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh menafikan desas-desus mendakwa kepimpinan Umno negeri berkenaan bakal bertukar dalam masa terdekat.
ADUN Tanjung Bidara itu berkata, tiada isu yang timbul berkaitan kepimpinan Umno negeri ketika ini.
“Tiada isu. Sehingga hari ini parti berada dalam keadaan yang terbaiklah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Badan Perhubungan Umno Melaka di rumahnya di Kampung Pulau, Masjid Tanah malam tadi.
Majlis yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam itu turut disertai Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.
Ab Rauf menganggap khabar angin yang timbul sebagai sebahagian daripada asam garam dunia politik.
“Saya tak anggap benda (khabar angin) tu sebagai satu ancaman kepada kedudukan Umno negeri pun. Masing-masing boleh meluahkan perasaan masing-masing,” katanya.