Konsep khemah besar yang dipandang negatif oleh sebahagian anggota KEADILAN kononnya akan berlaku perundingan dengan musuh musuh politik yang telah berkhianat dinafikan oleh calon Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai tohmahan dan fitnah
Katanya, strategi khemah besar bukanlah berunding dengan Umno atau menerima Azmin Ali tetapi perundingan strategik dengan tidak mengkompromikan prinsip KEADILAN.
“Saya nak terangkan isu khemah besar, seolah olah runding (khemah besar) itu runding dengan Umno, runding dengan Azmin.
“Kita pun ada maruah, tak kan begitu sekali cara berfikir kita. Nak runding kerusi dengan DAP dan Amanah, memang kena runding, bukan perang. Nak rangka manifesto Pakatan Harapan (PH) kena runding dengan DAP, Amanah. Nak letak Anwar sebagai Perdana Menteri kena runding dengan parti yang bersetuju dengan prinsip dasar kita.
“Saya orang Islam, sangat minat bila baca kitab sirah (sejarah Nabi). Orang kata PH kalah pilihan raya, duduk paling bawah sekali semangatnya, tekat hancur.
“Hakikatnya baru kalah 4 Pilihan Raya Negeri (PRN). Sejarah kita bukan kalah 4 pilihan raya. Sejarah kita berjuang di jalan raya, mendidik kita juga berjuang dalam pilihan raya, ada pengalaman dalam kerajaan negeri juga Kerajaan Persekutuan.
“Mesejnya ialah kita jangan gundah gulana. Kalau tengok semangat nabi Muhammad s.a.w, musuhnya kaum Quraisy boikot bertahun tahun tinggal di gunung, kecuali pada bulan suci di mana sekatan tak berjalan.
“Ruang itu Nabi gunakan untuk jumpa, runding dengan musuh. Hasilnya golongan yang Nabi bercakap itulah berkumpul di Kaabah (putuskan) untuk menamatkan sekatan kepada Nabi,” katanya dalam program “Rapat #Kita Semua KEADILAN” di Port Dickson, semalam.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung KEADILAN itu juga menafikan bahawa pemimpin parti tidak buat kerja atau tidak berusaha untuk memperbaiki prestasi selepas kekalahan dalam 4 PRN
Katanya, pimpinan parti sentiasa memikirkan cara untuk bangkit kembali. Beliau membariskan beberapa mesyuarat bersama pemimpin PH dan pembentangan strategi sama ada untuk menjenamakan semula PH atau menubuhkan jawatankuasa manifesto yang sedang rancak berjalan ketika ini merupakan bukti pemimpin sedang menyusun kekuatan
“Ada tanggapan kalah PRN kita (pemimpin) tak buat apa dan makan gaji buta, tak buat apa untuk parti. Saya tangkis serangan ini kerana siri temurapat pimpinan telah menghasilkan satu pelan kerja yang sangat jelas. Selesai pemilihan bulan Mei ini gerak kerja ini akan memandu kita untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat.
“Saya guna sedikit pengalaman dalam kerajaan (sebagai menteri KPDNHEP), tahu hutang kerajaan, tahu tentang segmen masyarakat mana yang patut kita dulukan. Juga tahu masalah Sarawak, Sabah dan pendalaman. Sedikit pengalaman itu saya akan guna untuk kukuhkan parti dan menjadi lebih mudah kalau saya berada dalam kedudukan nombor 2 dalam parti,” katanya.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu juga membidas idea yang melemahkan semangat anggota KEADILAN dalam kempen pemilihan ini kononnya dalam PRU 15 KEADILAN atau PH tidak boleh menang dan perlu menunggu sehingga PRU 16.
Katanya, sehari pun jika BN menang maka mereka akan melakukan kerosakan kepada negara dan PH tidak perlukan strategi yang memberi peluang BN untuk kembali berkuasa selepas PRU 15.
“Latar belakang pemilihan parti kali ini selepas kalah 4 negeri. Timbul perasaan gayat, kalau dah kalah menjelang PRU akan datang, masuk sahaja PRU kita tahu takdir.
“Lalu diberikanlah ramalan PRU 15 kita tak boleh menang, PRU 16 baru boleh. PRU 15 kita kita pembangkang. Soalannya ialah 5 tahun kerajaan BN kembali berkuasa apa nak jadi negara kita? Kerosakan sistem kehakiman, Peguam Negara, SPRM, kepolisian, ekonomi hancur dan lain lain. Apa jaminan 5 tahun tak jadi kerajaan Malaysia jadi lebih baik
“Oleh itu kita mesti kerja kuat menang PRU 15, kita mesti masuk untuk menang kali ini
“Jadi kita lakukan kajian kemerosotan undi Melayu apa puncanya. Kenapa rakyat tidak keluar mengundi sehingga jumlah keluar mengundi hanya 60%. Kalau dulu orang Melayu sokong sekarang tidak, apa puncanya. Bukan Melaku apa puncanya? Semua itu dilakukan bedah siasat dan sekarnag kita sedang melakar strategi untuk menang,” katanya lagi.
Dalam majlis itu juga Saifuddin memperkenalkan barisan kepimpinan yang akan bersama beliau memperbaiki prestasi KEADILAN sekiranya menang dalam pemilihan.
Katanya hasil gabungan idea pimpinan KEADILAN dan PH, tidak mustahil parti akan kembali ke Putrajaya sekali lagi.