Berikutan kenyataan Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin dan beberapa pemimpin parti itu yang lain bahawa kerusi menteri yang bakal dikosongkan oleh Zuraida Kamaruddin adalah milik Bersatu, ramai pemimpin UMNO tampil membidas dan menyanggah perkara itu.
Kata mereka, Bersatu tidak berhak bercakap mengenai kekosongan tersebut serta menuntut kerusi menteri itu kerana perlantikan jawatan kabinet adalah hak prerogatif Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menentukannya.
Jangan mendahului Perdana Menteri, kata mereka.
Ehh…ehh…ehhh…poyonya!!
Sementara memang diakui bahawa kuasa melantik menteri adalah hak Perdana Menteri, tapi dalam mana-mana kerajaan, tambahan lagi jika berbentuk campuran, kouta kepada parti tertentu tidak dapat dielakkan dan harus diakui.
Cuba bayangkan jika ada menteri UMNO sendiri yang meletak jawatan, apakah pemimpin UMNO akan bercakap dengan nada yang serupa atau mereka akan menuntut Ismail Sabri kekal memperuntukkannya kepada pemimpin daripada UMNO juga?
Begitu juga, jika menteri MCA atau MIC meletakkan jawatan, adakah pemimpin UMNO berani memberi amaran agar parti Cina dan India itu tidak menuntut dan mencalonkan pengganti, sebaliknya memberi hak sepenuhnya kepada Perdana Menteri melantiknya?
Dalam hal ini, Ismail Sabri pun tentu lebih faham bahawa memang kuasa beliau sebagai Perdana Menteri untuk melantik sesiapa saja sebagai menteri, namun konsep perkongsian kuasa dan hak parti lain pastilah juga dalam pertimbangan utama beliau.
Pemikiran dan pertimbangan Perdana Menteri tentu saja lebih ke arah kestabilan dan keharmonian kerajaan yang sedang dipimpinnya, bukan seperti pemimpin UMNO yang menyanggahnya kerana ada niat tidak baik di sebaliknya atau berharap pemimpin Bersatu tidak diberikan jawatan menteri itu.
Pemimpin UMNO berkenaan juga seperti cuba menyusahkan Ismail Sabri dan mahukannya bergaduh dengan Bersatu.
Hello…janganlah poyo sangat dan sedarlah sikit kerajaan sekarang dibentuk dengan semangat perkongsian kuasa!!
Nak poyo pun, sedarlah juga UMNO tidak menang pun dalam PRU14 lalu, cuma kemelut politik yang berlaku saja memberi ruang kepada mereka menikmati kuasa semula.
Lainlah kalau UMNO menang pilihan raya dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen misalnya, ketika itu barulah boleh cakap besar sikit.
Itu pun, kalau kerusi menteri yang memang kouta parti komponen lain, ia mestilah harus dihormati dan tidak diganggu.
Mahiaddin dan pemimpin Bersatu bukan saja betul apabila mengatakan kekosongan jawatan menteri yang bakal ditinggalkan Zuraida adalah milik mereka, bahkan tindakan demikian mencerminkan prinsip keharmonian untuk mengekalkan kestabilan kerajaan.
Cuma yang barangkali agak keterlaluan ialah kerana terlalu awal menuntut kerusi menteri yang belum pun lagi kosong sebenarnya.
Zuraida dalam kenyataannya hanya menyebut beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri mengenai perletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi susulan tindakannya keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia atau PBM.
Setakat ini, selain pertemuan itu belum berlangsung lagi, juga tidak diketahui sama ada perletakan jawatannya itu diterima atau tidak oleh Ismail Sabri.
Meski hukum logiknya kekosongan yang ditinggalkan oleh Zuraida itu harus diisi oleh pemimpin Bersatu, seharusnya sabarlah dulu sehingga ia benar-benar sah kosong sebelum mahu menuntutnya.
Apa pun, reaksi Bersatu itu hanya mencerminkan mereka sedikit poyo berbanding pemimpin UMNO yang memang sah poyo dan tak sedar-sedar diri. – ShahbudinHusin 28/05/2022.