Kerajaan tidak cari punca sebenar masalah bekalan ayam
Dua dasar terbaharu yang dilaksanakan secara serentak berkaitan kekurangan bekalan ayam di pasaran oleh kerajaan BN – PN menunjukkan mereka tidak mengenal pasti masalah sebenar berkaitan ternakan itu.
Menurut Jurucakap Parlimen bagi Pertanian dan Komoditi KEADILAN, Sim Tze Tzin, dasar memansuhkan permit import (AP) ayam bulat dan menyekat eksport daging ayam mulai Jun ini tidak semestinya akan menambah bekalan atau menurunkan harga.
“Persoalan sekarang, adakah dasar tersebut betul-betul berkesan untuk meningkatkan bekalan ayam?
“Pada pendapat saya, kedua-dua dasar adalah penyelesaian kurang jitu. Contohnya, pemberian AP import ayam bulat telah dilaksanakan sejak bulan Februari lagi. Tapi, kurang syarikat berminat mengimport kerana harga ayam global lebih mahal daripada Malaysia.
“Pemansuhan AP ayam bulat, dijangka kurang sambutan atas sebab yang sama, iaitu harga ayam global lebih mahal. Kawalan eksport juga bukan penyelesaian berpanjangan,” katanya.
Tegas mantan Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani itu, masalah kekurangan bekalan seharusnya ditemukan punca sebenar sebelum kerajaan mengambil tindakan susulan.
“Punca kekurangan bekalan ayam ini disebabkan permintaan luar biasa kerana perayaan Hari Raya Aidilfitri selepas 2 tahun lockdown. Permintaan luar biasa dijangka akan menurun selepas bulan Syawal.
“Punca kedua adalah harga kos pengeluaran yang meningkat. Harga kos dedak telah meningkat 100%. Gaji minima pekerja naik ke RM1,500. Kekurangan pekerja juga menjejaskan pengeluaran.
“Yang paling terkesan adalah kawalan harga RM8.90 sekilo selama 141 hari. Kawalan harga ini paling lama dalam sejarah dan ia menjejaskan keseimbangan pasaran,” katanya.
Justeru, kata Ahli Parlimen Bayan Baru itu, kawalan harga berterusan telah menyebabkan petani menanggung kerugian berpanjangan. Mereka mula mengurangkan jumlah ternakan kerana ingin memotong kos.
“Demi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan, kerajaan seharusnya memahami masalah sebenar dan berusaha membantu petani tempatan mencari penyelesaian win-win (bukan mengambil langkah mudah mengimport),” katanya lagi.