PINDA PERLEMBAGAAN UMNO - ELAK PERPECAHAN ATAU ZAHID HAMIDI TAKUT HILANG JAWATAN?
Hari ini
UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas atau EGM bagi tujuan meminda
perlembagaannya iaitu pemilihan parti hanya akan diadakan enam bulan selepas
PRU dilangsungkan.
Dengan
pindaan itu, ia bukan saja bermaksud pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan
tahun ini akan dianjakkan sehingga PRU15 diadakan terlebih dahulu, bahkan juga
terpakai sehingga ke hari kiamat.
Ini
adalah sejarah baru bagi UMNO kerana nampaknya peruntukan dalam perlembagaan
sedia ada yang membenarkan pemilihan ditangguhkan selama 18 bulan tidak cukup
melegakan buat Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan sesetengah pemimpin dalam
parti itu melindungi jawatan mereka.
Lalu,
kini ditambah pula peruntukan dalam perlembagaannya bahawa pemilihan hanya akan
diadalan selepas enam bulan PRU dilangsungkan.
Menurut
Zahid Hamidi, langkah meminda perlembagaan itu adalah untuk mengelakkan
perpecahan dalaman berlaku dalam UMNO.
“Langkah
itu akan memastikan kestabilan parti menjelang PRU15 akan datang.
“Ini
merupakan satu lagi langkah dan usaha keterhadapan untuk memperkasakan UMNO
dalam berdepan dengan cabaran mendatang.
“Pindaan
itu kelak bakal meletakkan UMNO dalam keadaan paling kemas, tersusun dan
berdaya setiap kali memasuki gelanggang PRU,” tegasnya lagi.
Bolehkah
ahli-ahli UMNO yang waras percaya sepenuhnya kata-kata Zahid HamIdi itu?
Benarkah
pindaan itu untuk mengelakkan perpecahan atau sebenarnya untuk mengelakkan
beliau daripada hilang jawatan?
Tidak
cukup lagikah dengan peruntukan 18 bulan menangguhkan pemilihan yang sedia ada
dalam perlembagaan?
Kenapa
Presiden UMNO terdahulu cukup selesa dengan peruntukan sedia ada itu dan tidak
pernah mahu menambah tempohnya dengan membuat pindaan baharu?
Dalam hal
ini, tidak diragui lagi Zahid Hamidi sebenarnya tidak cukup berjiwa besar dan
sedia menghadapi pemilihan UMNO, meski dalam keadaan dirinya sedang berdepan
hampir 100 pertuduhan di mahkamah.
Sepatutnya,
dengan beban kes mahkamah yang sedang dihadapinya sekarang ini, beliau bukan
saja wajar berundur, malah sangat patut memberi laluan mudah kepada Ismail
Sabri yang kini merupakan Perdana Menteri untuk mengambil alih jawatannya itu.
PRU15
akan datang ini tidak sepatutnya lagi beliau terlibat, jauh sekali mahu terus
mencatur calon-calon dan membenarkan dirinya sendiri bertanding lagi.
Bukankah
selama ini selalu kita dengar hampir semua pemimpin UMNO, termasuk Zahid Hamidi
mengeluarkan kata-kata kononnya mereka sentiasa mengutamakan parti melebihi
kepentingan sendiri?
Mengutamakan
parti apa namanya kalau sentiasa mahu berselindung di sebalik jawatan dan
melindungi jawatan dengan pelbagai cara tanpa henti-henti? – ShahbudinHusin
15/05/2022.