Institusi kehakiman wajib bebas campurtangan politik
Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang di bawah bidang kuasa Perdana Menteri menyiasat Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali terus dipertikaian dalam kalangan rakyat sejak dua minggu lalu.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN pusat, Manivanan Gowin, sebarang isu berkaitan institusi kehakiman tidak sewajarnya disiasat oleh agensi kerajaan, sebaliknya diserahkan kepada tribunal khas untuk memutuskan sebarang tindakan.
Hal itu, katanya demi menjaga kemuliaan dan membolehkan rakyat memandang tinggi institusi kehakiman.
“Hakim atau pun institusi kehakiman ini adalah institusi yang berdiri atas imej dan integriti sendiri. Maksudnya ia adalah institusi yang bebas, boleh dianggap institusi terakhir di mana rakyat biasa boleh meminta pembelaan atas sesuatu isu atau individu.
“Sekiranya institusi kehakiman ini digores dengan percaturan politik, dicalar dengan permainan politik ia akan meruntuhkan institusi kehakiman itu dan mengakibatkan kepercayaan, harapan kepada institusi ini makin lama makin merudum. Ini amat merbahaya
“Sebagaimana Parlimen, satu institusi membuat perundangan (dibiarkan bebas) maka institusi kehakiman yang menjaga perundangan itu juga perlu diberi perhatian yang berbeza.
“Biar Parlimen jalankan tugas mereka dan institusi kehakiman jalankan tugas mereka. Apa apa desakan terhadap hakim mahu pun institusi kehakiman akan menyebabkan kerugian kepada masyarakat secara majmuk,” katanya.
Menurut beliau yang juga seorang peguam, institusi kehakiman tidak boleh diperlekehkan sedemikian rupa kerana akan menyebabkan rakyat mempertikai keputusan yang dijatuhkan oleh para hakim.
“Kita jangan memperlekehkan kebolehan hakim hakim di semua peringkat. Mereka mendengar setiap hujah dalam mahkamah setelah meneliti semua bukti, segala hujah dari peguam dan keputusan itu perlu dihormati
“Jadi apa apa tekanan, tangan ghaib yang mengganggu institusi ini perlu dihentikan segera,” katanya.
Oleh itu, mantan Ahli Parlimen Kapar berkenaan mahu sebarang cubaan menekan mana mana hakim perlu dihentikan segera agar kehakiman Malaysia dihormati oleh masyarakat antarabangsa.
“Biar institusi kehakiman jalankan tugas mereka tanpa rasa takut atau memilih mana mana individu. Biar mereka jalankan tugas dengan sempurna, lancar, dan terbaik demi masa depan negara,” katanya lagi.
Baru baru ini, hakim yang menjatuhkan hukuman bersalah dalam kes rasuah dana SRC International Sdn Bhd melibatkan Datuk Seri Najib Razak disiasat oleh SPRM
Siasatan terhadap Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki
Hakim Nazlan sebelum itu didakwa oleh bloger Raja Petra Kamarudin sebagai mempunyai “kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya”.