Yang difahami sebelum ini mengenai “cash is king” yang dibudayakan oleh Najib Razak, ia bererti dengan adanya banyak wang, seseorang itu akan hidup atau boleh berlagak seumpama raja.
Raja, di mana-mana dunia sekali pun, baik dulu atau sekarang, memang diketahui tidak ada yang tidak kaya.
Kalau raja, kecuali Rajagogal atau Raja Lingam, semua mereka mesti kaya dan tinggal di istana.
Ertinya bagi orang biasa, kalau mahu jadi macam raja, maka ia mesti memiliki banyak wang.
Dalam erti yang lain, lagi banyak wang, lagi besar gaya serta lagak raja seseorang itu.
Dalam konteks pemimpin, mereka yang ada banyak wang dan sedia memberi kepada penyokongnya, maka ia akan sentiasa dianggap seperti raja.
Untuk seseorang pemimpin itu terus disokong, kadang-kadang bukan khidmat, kerja atau idea yang diutama, tetapi sebanyak mana wang yang sanggup diagih-agihkan.
Selagi ia sedia menabur banyak wang, selagi itulah sokongan diperolehinya.
Kerana itu, ungkapan “cash is king” dalam kaitannya antara pemimpin dengan rakyat tidaklah sukar difahami, bahkan mudah diterima maksudnya.
Hanya dengan memberi tunai, maka akan kekallah pemimpin itu atau setidak-tidaknya sentiasa disanjung oleh penyokongnya.
Tetapi, setelah bertahun-tahun membawa budaya “cash is king” atau wang tunai itu raja, Najib tiba-tiba memberi tafsiran baru mengenai makna sebenar “king”.
Kata Najib, dalam debat dengan Anwar Ibrahim Khamis lalu, “king” itu sebenarnya bermaksud rakyat.
Makna kata, kalau dulu wang tunai itu adalah raja, sekarang ia sudah bertukar menjadi wang tunai itu rakyat.
Menerusi tafsiran baru itu, ada banyak wang bermakna tidak lagi menjadikan seseorang itu raja, sebaliknya jadi rakyat saja.
Apa istimewanya ada banyak wang jika tidak boleh berlagak seperti raja?
Habis, apa yang boleh menjadikan seseorang itu raja?
Perlukah juga sekarang makna “king”di dalam kamus ditukar daripada raja kepada rakyat?
Kenapa tiba-tiba Najib menukar makna “king”?
Inikah bahana paling besar kesan hilang kuasa yang memerlukan forensik dilakukan terhadap bekas Perdana Menteri itu?
Adakah setelah hilang kuasa, meskipun banyak menabur wang, maklumlah hanya beliau satu-satu pemimpin di negara ini yang diketahui ada berbilion ringgit dalam akaun bank peribadi, maka baru Najib sedar bahawa wang tunai bukan lagi raja?
Kalau “king” juga bukan lagi bererti raja, tapi sudah bertukar erti kepada rakyat, maka raja yang sebenar yang bertakhta di istana kita nak panggil apa? – ShahbudinHusin 14/05/2022.