Boleh menang PRU 15 bawa isu anak muda, pengangguran
Kempen Pemilihan KEADILAN 2022 penuh dengan pelbagai idea yang dilontarkan pihak bertanding untuk memastikan parti menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Salah satu idea dicadangkan oleh calon Naib Presiden KEADILAN, Manivanan Gowin, yang menyatakan sekiranya Pakatan Harapan (PH) memainkan isu pengangguran, anak muda Undi 18 dan anak muda bekerja di bawah kelayakan sebenar maka PH menang PRU 15 tanpa berunding dengan parti lain.
“Kita telah terlalu jauh meninggalkan pengundi Atas Pagar yang sekian lama menyokong kita.
“Kalau kita bawa isu ini. Isu hampir 1.5 juta anak muda yang Undi 18 dan Undi 21 yang tidak menunjukan kecederungan kepada parti politik. Kita cerita apa pun, mereka tak minat.
“Juga 690,000 pengangur di luar sana, 1.8 juta yang belajar tinggi tetapi pekerjaan tidak sepadan dengan pendidikan mereka….
“Maksudnya apa? 1.5 juta tak minat politik, 690,000 penganggur, 1.8 juta gaji tak setimpal dengan pendidikan, jika dicampur ini sahaja sudah 4 juta. Mereka ini adalah pengundi dalam PRU akan datang,” katanya.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN pusat itu lagi, dengan potensi undi yang begitu besar tugas anggota KEADILAN adalah berkempen kepada golongan sasar itu agar mereka berubah fikiran dalam PRU 15.
“Apa kita kena buat? Kita wajar bicara tentang masalah pengangguran. Kita bincang kecederungan anak muda masuk medan politik, kita bincang tentang meningkatkan gaji setimpal dengan kelulusan. Kita harus bincang masa depan anak anak kita, peluang pekerjaan dan peluang pendidikan.
“Kalau itu kita lakukan, kita akan menang PRU akan datang,” katanya lagi.