PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak bersetuju istilah ‘debat’ digunakan untuk pada program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ antara dua calon timbalan presiden, Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli.
Katanya, ini kerana kedua-dua mereka mendukung ideologi parti sama.
Beliau berkata, pentas berkenaan perlu menjadi medan perbincangan antara kedua-dua calon parti itu demi kebaikan bersama.
“Istilah debat ini lebih sesuai digunakan untuk program antara saya dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak nanti kerana kami mempunyai pola pemikiran dan dasar berbeza.
“Tapi, dalam konteks ini (program Berani Semuka) yang diadakan di antara dua calon dalam parti sama, ia lebih kepada perbincangan tentang penekanan dan strategi baharu yang akan digunakan dalam satu wadah,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Dalam pada itu, Anwar turut m
enasihatkan para calon bertanding dalam pemilihan PKR 2022 membaca tata kelola yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Selain itu, beliau mengesyorkan supaya calon menjaga suasana persahabatan persaingan, tidak terpanggil oleh mana-mana pihak yang sengaja mengapi-apikan keadaan seolah-olah pemilihan tersebut satu pertarungan antara sesama calon parti.
“Perbincangan juga mesti diadakan dalam suasana persahabatan, mengelakkan dari meningkatkan ‘suhu’ panas yang lebih tajam,” katanya.