Politik kabilah telah berakar dalam KEADILAN sejak beberapa siri
pemilihan lalu dengan pelbagai gelaran diberikan kepada kumpulan yang
mengamalkannya.
Sehubungan itu calon Naib Ketua Wanita pusat, Siti Aishah Shaik
Ismail bertekad untuk mengeluarkan parti daripada budaya politik yang tidak
menguntungkan itu.
Katanya, tidak boleh wujud pasukan tertentu dalam parti dan akan
menyebabkan peringkat bawahan tidak mengambil arahan daripada pemimpin puak
berlainan
"Pemilihan kali ini ialah pemilihan yang perlu dianggap
sebagai persiapan kepada maksud tujuan asal parti politik iaitu pilihan raya
umum. Setelah sekian lama kita berjuang dan membina semangat bersama, pasti apa
yang pernah berlaku adalah satu tempoh yang amat sukar untuk dilupakan.
"Menginsafi bahawa perlu ada timbal balik dalam politik maka
kali ini saya menawarkan diri untuk bersama akar umbi bagi menjadi pasukan yang
bukan sekadar benteng semata-mata tetapi tentera yang berjuang bersama sehabis
tekad dan usaha bagi memastikan mandat yang sebenarnya dicapai dengan
sebaiknya.
"Saya mahu membawa Wanita KEADILAN keluar dari politik
kabilah, yang pastinya membuatkan kita nampak lemah, tidak utuh dan
terkebelakang.
"Politik itu kerja berpasukan menguatkan yang lemah dan
menterjemahkan segala kekuatan itu di medan yang betul," katanya.
Menurut beliau lagi, tiba masanya wanita baik di peringkat pusat
mahupun akar umbi dipersiapkan sebaiknya bukan sahaja sebagai jentera namun
sebagai pemimpin yang bakal menggalas tugas sekiranya Pakatan Harapan diizinkan
memerintah dalam pilihan raya akan datang.
"Wanita bukan lagi perlu jadi "option" tetapi wajib
untuk mengisi keperluan jawatan di peringkat akar umbi dan institusi-institusi
yang ada dengan baik dan cemerlang.
"Menempatkan diri saya dalam barisan kepimpinan wanita
sebagai Calon Naib Ketua Wanita hanya sebagai asbab untuk saya melaksanakan
tugas dan tanggungjawab dengan lebih fokus.
"Dengan rendah diri saya menawarkan khidmat dan bakti saya
kepada parti dan Wanita dan kita bina rumah ini bersama agar ia menjadi satu
lonjakan untuk semua dan menjadikan Wanita KEADILAN disegani oleh lawan dan
kawan," katanya lagi.