SIRI 2 MENELUSURI DENAI HARAPAN

 



Kami memastikan semua hal di rumah dapat dibereskan, dan dengan itu saya menuju ke perkampungan nelayan tersebut, memandu sejauh 150km setiap hari.

Ia menjadi sebuah pengalaman paling bernilai yang saya lakukan sepanjang hidup. Jalan ke hadapan cukup berliku, namun ia memberi rangsangan untuk saya berbakti kepada negara. Saya tidak menyesal akan keputusan saya ini.

Saya tahu selama sembilan tahun saya mengetuai sekolah ini, ia hanya bertambah baik. Pada mulanya saya hanya melakukan segalanya mengikut dorongan hati saya, dan perlahan-lahan, semuanya menjadi semakin sempurna. Saya mendapatkan sokongan penuh dari guru di sekolah, yang membuatkan saya rasa cukup terhutang budi dengan mereka semua.

Dan ia bukan kerja saya seorang. Kami semua bekerja bersama. Pelajar tempat kami menumpah bakti mengajar kami akan nilai serta arah tujuan. Ia menjadi sebuah sekolah yang semakin bagus ketika saya meninggalkannya.

Pastinya kalian dapat melihat bagaimana membina sebuah sekolah atau negara mempunyai begitu banyak persamaan. Semua kita mempunyai peranan sebagai warga. Dan kita semua mempunyai pilihan. Kita semua terus melakukan pilihan mengikut keutamaan peribadi kita.

Pun begitu, seringkali kita bertindak mengikut keutamaan kita, ia akan membawa kita ke pengakhiran yang sama. Apa yang kita lakukan hari ini untuk dunia kita pastinya akan memberi kesan kepada ruang dan kehidupan peribadi kita pada masa hadapan.

Membina semula sekolah (atau negara) seringkali bermula dengan ‘seseorang’. Ia akan sering bermula dengan ‘anda’. Anda takkan pernah tahu ke mana kita akan pergi hinggalah kita mencubanya. Akhirnya, ia merupakan soal strategi dan kemampuan untuk membawa semua orang bersama-sama. Tiada seorang pun yang dapat melakukan perubahan seorang diri.

Dan begitulah, pesan saya kepada kalian tentang harapan, yang barangkali begitu ramai di antara kita yang merasakan ia seperti tidak kena pada tempatnya. Usaha kita boleh jadi berkesan atau tidak. Kita tidak tahu. Siapa pun tidak tahu. Kita hanya boleh menghadapi halangan jika kita menelusurinya dengan hati-hati, penuh komitmen, kecerdasan, strategi serta mempunyai pandangan yang jauh.

Jangan gusar akan jalan yang sesak, atau soal menuai hasil atau masa yang dileburkan. Jangan fikir terlalu banyak akan segalanya. Rancanglah setakat mana yang boleh, asalkan anda bertanggungjawab akannya. Lakukan saja, jika pun anda tidak tahu ke mana hala tuju seterusnya. Apa jalan yang ada juga sudah cukup baik.

Saya cukup minat dengan slogan Nike – ‘Just do it!’ Hanya buat apa yang kalian boleh lakukan. Jika setiap orang melakukan sesuatu yang bermakna setiap hari, pastinya, keajaiban akan tiba. Inilah rahsia bagaimana saya dapat berfikiran positif. Kadang kita berfikir terlalu mendalam dan akhirnya putus asa. Jika tiada seorang pun melakukan apa-apa, pastinya kita akan gagal sepenuhnya.

Jadi, apa yang boleh kita lakukan? Lakukan apa saja supaya kita dapat memujuk yang lain melihat apa yang terbentang di hadapan kita. Setitis air pun lama-lama kan menjadi laut… atau pun tidak. Tiada seorang pun di antara kita yang tahu.

Kita boleh saja menubuhkan satu kumpulan perbincangan dan mula merancang sesuatu bersama. Kita boleh sahaja sertai kelompok masyarakat sivil atau NGO atau sumbangkan apa saja kepakaran atau mula membuat kelompok perbincangan dalam mendidik antara satu sama lain.

Atau anda boleh menjadi salah seorang calon di pilihan raya akan datang.

Yang pasti jangan sebut “saya putus asa” sebelum kalian memulakan perjalanannya.

Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
16 April 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman