Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke atas aplikasi
MySejahtera yang merekodkan kesihatan penduduk Malaysia dan mendapati tiada
jaminan ke atas keselamatan data peribadi dikumpulkan oleh aplikasi itu
meresahkan banyak pihak.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim
mengkritik kecuaian kerajaan, memetik pengakuan Ketua PAC bahawa terdapat
kekeliruan tentang bagaimana data rakyat Malaysia dikumpul sejak dua tahun
lalu.
Katanya, laporan itu ternyata merobek keyakinan rakyat terhadap
menteri yang bertanggungjawab.
"Namun kini yang menjadi persoalan penting adalah status
data-data peribadi pengguna, keselamatan negara dan juga reputasi menteri
berkenaan.
"Siasatan yang dijalankan PAC setakat ini, beserta hasil
siasatan dan kajian saya sendiri membuktikan kerajaan bukan hanya tidak
mempedulikan aspek ketelusan dan memiliknegarakan aplikasi MySejahtera melalui
pembangunan, tetapi kerajaan turut membenarkan individu-individu yang dekat
dengan pundak kuasa untuk mengaut laba dan keuntungan.
"Kita sedia maklum aplikasi ini adalah langkah yang sangat
diperlukan sebagai usaha negara dalam mengekang perebakan wabak yang kini
meragut lebih 35,500 nyawa, dan ini melibatkan data peribadi lebih 38 juta
warga. Yang lebih merungsingkan adalah data-data peribadi tersebut kini
terdedah kepada entiti asing," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu kesal kerana sebelum ini rakyat
seolah-olah dikelirukan dengan jaminan menteri berkaitan server di mana data MySejahtera itu disimpan dan diperkirakan selamat.
Katanya, kini terbukti tanpa kontrak dan perjanjian yang jelas,
janji menteri tentang perjanjian kerahsiaan (NDA) tidak memberi sebarang makna
yang munasabah.
"Apa yang mustahak sekarang adalah kerajaan mesti membuktikan
data-data tersebut telah dan akan terus disimpan oleh server-server kerajaan sahaja.
"Pengumpulan data oleh mana-mana organisasi atau kerajaan
tanpa objektif yang jelas hanya mendedahkan data-data tersebut untuk disalahguna,
dan ini membuktikan sikap sambil lewa di pihak pengumpul data.
"Saya menggesa menteri untuk membuktikan data-data peribadi
rakyat Malaysia tidak terdedah kepada kepentingan dan tangan-tangan gelap,
samada di dalam mahupun di luar negara.
"Pemerintah mesti melakukan sedaya upaya untuk mengelakkan
sebarang kecuaian, dan dalam masa sama mesti mengukuhkan pendirian bahawa
data-data tersebut milik rakyat dan bukan kerajaan. Kementerian Kesihatan (KKM)
juga mesti membenarkan audit dan data forensik dijalankan," katanya.
Sehubungan itu, Anwar berharap PAC terus menjalankan siasatan
terperinci terhadap perkara berkenaan, termasuk memanggil entiti-entiti swasta
yang terlibat dalam pembangunan dan pengurusan data juga pakar-pakar teknikal
untuk menjejaki di manakah sebenarnya lokasi server yang menyimpan data-data peribadi rakyat Malaysia berkenaan.
"PAC juga mesti menyiasat mekanisme runding terus yang
digunapakai dalam membangunkan aplikasi MySejahtera agar kesan negatifnya dapat
ditampan di masa hadapan.
"Sebagai negara yang pernah dijajah, kita mesti tidak harus
berkompromi sama sekali terhadap sebarang bentuk penjajahan," katanya
lagi.
Selain itu, tegas Pengerusi Pakatan Harapan itu, Kerajaan mesti
segera menghentikan pengumpulan data dari aplikasi MySejahtera sehingga mereka
dapat memberikan jaminan ke atas tahap perlindungannya.