Keputusan Mahkamah Daerah Timur New York, Amerika Syarikat (AS)
yang mendapati pegawai kewangan Goldman Sachs, Roger Ng bersalah dalam
menggelapkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepatutnya membuka mata
dan minda rakyat Malaysia terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak yang
didakwa turut terlibat.
Menurut Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, keterangan bersumpah di dalam mahkamah di AS daripada Roger Ng dan ketuanya Tim Leissner telah mengaitkan Jho Low dan Najib dalam skandal kewangan melibatkan negara terbesar di dunia itu.
"Saya hanya akan berkata, satu dunia sudah tahu tahu kes ini
dan mahkamah di AS serta peguam-peguam dari luar negara juga telah mengambil
bahagian dan mendakwa mereka yang terlibat
"Tetapi di Malaysia berbeza apabila mereka yang mencuri wang
rakyat dan terlibat dalam kes ini bebas ke hulu ke hilir tanpa rasa malu. Malah
mereka yang terlibat dan dikdakwa ini seolah-olah tidak bersalah pula.
"Dalam hal ini, saya nak tanya kepada masyarakat kita mengapa
mereka sanjung dan beri penghormatan kepada Najib Razak dan mereka yang lain
turut terlibat? Adakah masyarakat kita sedar siapa yang bersalah dan
tidak?" soalnya.
Justeru, William yang juga seorang peguam korporat terkenal
berkata, Najib selepas ini sudah tidak punya hujah lagi untuk mengatakan kes
1MDB yang melibatkan beliau sebagai fitnah pembangkang dengan pembuktian dan
keputusan di mahkamah AS itu.
"Bukti sudah ada. Dan kes ini telah dibuktikan di mahkamah
oleh agensi yang berintegriti yang tidak ada unsur politik. Dan mereka mengikut
landasan undang-undang yang betul.
"Najib nak membela diri macam mana lagi kerana sudah jelas
beliau terlibat. Masyarakat nak percaya agensi berintegriti ini atau mereka
yang bersalah," katanya lagi.
Jumaat lalu, juri Mahkamah Daerah Amerika Syarikat menyabitkan
kesalahan ke atas Roger Ng atas tuduhan rasuah berkaitan peranannya
bersekongkol mencuri ratusan juta dolar daripada dana 1MDB
Roger didapati membantu bekas bosnya Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana itu, pengubahan wang dan merasuah pegawai untuk mendapatkan perniagaan untuk Goldman Sachs.
Hakim daerah AS Margo Brodie kemudian memerintahkan Ng dikenakan
perintah berkurung sementara menunggu hukuman, tetapi berkata dia tidak
mengkategorikan Ng sebagai individu sebagai berisiko melarikan diri.