Kalah PRU15 boleh jadi tanda mula kehancuran PH, kata penganalisis
PETALING JAYA: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum akan datang boleh menandakan permulaan kehancurannya, seorang penganalisis memberi amaran.
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, beliau percaya pengundi akan berputus asa terhadap gabungan pembangkang dalam bentuk sedia ada jika ia kalah sekali lagi selepas tewas dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.
“PRU15 adalah benar-benar satu permainan ‘survival’ untuk PH, bukannya batu loncatan,” katanya ketika mengulas gesaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli agar gabungan itu bersikap realistik tentang peluangnya.
Dalam kenyataan baru-baru ini, Rafizi juga berkata, lebih baik bagi PKR dan PH untuk berpuas hati kekal sebagai pembangkang “dengan bermaruah” berbanding menghebahkan keyakinan mereka untuk menang dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Chin bersetuju PH perlu realistik, namun berkata, tiada gunanya bertanding jika tidak merancang untuk menang.
“Tiada parti politik bertanding untuk kalah dalam pilihan raya,” katanya.
Untuk PH muncul sebagai pemenang pada PRU akan datang, ia mesti menjamin undi Melayu luar bandar, kata Chin sambil menambah, ia adalah salah satu faktor yang membolehkannya menduduki Putrajaya pada PRU lepas.
Pada PRU14, Bersatu, yang ketika itu bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad dan menganggotai PH, memenangi satu pertiga daripada kerusi Melayu luar bandar.
Jika PH tidak dapat mengulangi kejayaan ini pada PRU15, ia “tiada peluang untuk menang” kerana kawasan Melayu luar bandar membentuk hampir 100 kerusi di Dewan Rakyat, kata Chin.
Seorang lagi penganalisis, felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, Rafizi cuba bersikap pragmatik dan melihat prestasi PH dalam tiga PRN, perubahan dalam landskap politik negara dan sentimen rakyat.
Katanya, penting bagi PH mengubah pendekatan politiknya dengan melupakan apa yang disebutnya sebagai “isu lapuk”, seperti 1MDB dan Najib Razak.
Beliau juga berkata, cabaran terbesar bagi pembangkang adalah untuk bersatu.
“Jika blok-blok tidak dapat bekerjasama, sukar untuk mencabar Barisan Nasional (BN) kerana apabila tiada perpaduan, akan berlaku pelbagai pertembungan banyak penjuru, yang akan menjadi kelebihan kepada BN, seperti yang dilihat pada PRN,” tambahnya