Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 11 April ini yang telah
dipersetujui untuk disokong oleh Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebagai
punca kuasa bagi meluluskan Rang Undang undang (RUU) Anti Lompat Parti pada
masa hadapan dianggap mempunyai kelemahan serius oleh beberapa pihak.
Terdapat pemimpin PH yang beranggapan meluluskan terlebih dahulu
pindaan Perlembagaan namun RUU Anti Lompat Parti belum diketahui nasibhnya
boleh membawa kepada hal 'merbahaya' memandangkan pindaan kepada Perkara 10
Perlembagaan tersebut sekiranya tidak ditangani secara berhati hati boleh
digunakan kerajaan untuk meluluskan undang undang yang anti demokrasi.
Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, pindaan
Perlembagaan yang akan dilakukan Isnin ini sewajarnya dipertimbangkan semula
agar tidak memberi kuasa meluas kepada Kerajaan dalam menyekat kebebasan
berpersatuan.
"Berapa banyak daripada pindaan ini bergantung kepada niat
murni dan niat baik kerajaan? Jika hanya itu semuanya disandarkan, maka ia
sangat rapuh.
"Ia memberi kuasa Kerajaan Persekutuan selama-lamanya untuk
melucutkan kerusi Ahli Parlimen. Kita perlu menyemak semula strategi
perundangan ini," katanya di Twitter.
Seorang lagi pemimpin KEADILAN, Wong Chen juga memberi pandangan
hampir sama. Beliau yang berkongsi salinan RUU berkenaan yang diberi untuk
bacaan Jawatankuasa Pemandu berkata, pindaan berkenaan akan memasukkan klausa
kecil yang membenarkan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan wakil rakyat
dihadkan oleh undang-undang persekutuan.
"Bagaimanapun, peruntukan Perlembagaan membenarkan, yang akan
dibahaskan pada hari Isnin terlalu luas.
"Pada asasnya ia memberi kuasa kepada undang-undang
persekutuan untuk menggantikan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara yang
berkaitan dengan "keahlian dalam parti politik (untuk) Ahli Parlimen dan
ADUN".
"Ini perlu diperketatkan dan dikecilkan kepada konteks
anti-lompat parti sahaja," katanya di Facebook.
Hakikatnya, biar pun pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua
pertiga Ahli Parlimen sebaliknya mana-mana perundangan yang menggunakan
peruntukan Perlembagaan hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan.
Hal itu boleh membenarkan penciptaan undang-undang lain untuk
menyekat kebebasan berpersatuan.
Kerajaan semasa dengan majoriti mudah boleh memperkenalkan
undang-undang untuk mengenakan sekatan tersebut.
Sebelum ini, kegagalan kerajaan BN membentangkan RUU Anti Lompat
Parti adalah berikutan penolakan Ahli Parlimen PN yang mahu mahu rang
undang-undang itu "ditakrifkan dengan jelas", dan tidak akan
memangsakan mana mana pihak di kemudian hari.