PETALING JAYA: Seorang penganalisis cuba menunjukkan bagaimana Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu boleh bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang tanpa memecahbelahkan pakatan pembangkang.
Menyentuh pandangan bercanggah parti komponen PH mengenai kerjasama dengan Bersatu, ahli sains politik Wong Chin Huat berkata, kerjasama politik boleh datang dalam bentuk barisan bersatu atau pakatan untuk mengelak pertembungan, atau pakatan separa yang bertujuan untuk meminimumkan pertembungan banyak penjuru.
Beliau berkata, mustahil bagi PH dan Bersatu membentuk barisan bersatu disebabkan perbezaan ideologi, dan pakatan yang teguh juga sukar dibina disebabkan permusuhan antara PAS dan Amanah serta antara PKR dan bekas ahlinya yang kini menganggotai Bersatu.
Bagaimanapun, katanya pakatan separa boleh diwujudkan.
“Bersatu, PKR dan Amanah berminat untuk bekerjasama. Mereka bimbang akan kehilangan beberapa kerusi kecil pada PRU15 dan sanggup membuat perjanjian,” katanya kepada FMT.
“Jika rundingan itu berjaya, kita mungkin melihat perjanjian separa. Sebagai contoh, Bersatu mungkin mengelak pertembungan dengan Amanah dan PKR – kecuali di kerusi yang dipegang geng Azmin Ali – tetapi masih berdepan DAP di beberapa kerusi tetap.
“Sementara itu, PAS mungkin membuat perjanjian dengan PKR tetapi masih menyasarkan kerusi Amanah.”
Ditanya sama ada beliau berpendapat PAS akan berpisah dengan Bersatu disebabkan pendirian berbeza mengenai kerjasama dengan PH, Wong bercakap mengenai hubungan bawah payung Perikatan Nasional yang seperti “perkahwinan demi kesenangan”.
Katanya, ikatan itu tidak ada kaitan dengan keyakinan parti Islam berkenaan terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang menerajui Bersatu.
“Apa yang penting pada PAS adalah bagaimana ia boleh melindungi kawasannya daripada pertembungan banyak penjuru dan sama ada ia boleh menumpaskan Amanah,” katanya.
Baru-baru ini, Muhyiddin berkata, Bersatu sedia bekerjasama dengan mana-mana parti bagi memastikan pertembungan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.
Ini bertentangan dengan pendirian sekutunya dalam PN, Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang berkata, partinya tidak akan bekerjasama dengan PH.
Dalam PH, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menyokong kemungkinan bekerjasama dengan Bersatu, tetapi pemimpin DAP seperti Loke Siew Fook dan Lim Guan Eng menentangnya.
Seorang lagi penganalisis, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, beliau percaya PN “mungkin berpecah” disebabkan pendirian bercanggah Bersatu dan PAS untuk bekerjasama dengan PH, dan PAS akan mempertimbangkan memulihkan pakatan Muafakat Nasional dengan Umno.
Beliau berkata, Bersatu mungkin sedar bahawa satu-satunya harapan mereka untuk terus memegang sedikit kuasa adalah untuk menjalin hubungan dengan PH.
“Namun, PAS tidak boleh bersekutu dengan DAP sekali lagi, setelah ia berjaya menanam dalam diri orang Melayu dakwaan DAP anti-Melayu,” katanya.
“Ahli Bersatu masih mempunyai DNA Umno dalam diri mereka. Tanpa jawatan berkuasa, Bersatu berisiko dilupakan.”