PasLeak: Pas adalah 'ahlul-nafi', parti yang tidak boleh dipercayai - Mahfuz

 


Abd Hadi Che Awang
PasLeak: Pas adalah 'ahlul-nafi', parti yang tidak boleh dipercayai - Mahfuz
Tegas Mahfuz, penafian yang dibuat bekas partinya itu juga adalah bukan satu perkara baharu. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Penafian demi penafian yang dibuat pemimpin tertinggi Pas berhubung isu dokumen tular yang dikenali sebagai PasLeak, mewajarkan parti itu dilabel sebagai 'ahlul-nafi' atau kumpulan yang suka menafikan sesuatu yang benar.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyatakan, atas sebab itu juga Pas kini dianggap sebuah parti yang tidak boleh dipercayai oleh rakyat Malaysia.
Tegasnya, penafian yang dibuat bekas partinya itu juga adalah bukan satu perkara baharu sebaliknya telah 'diamalkan' beberapa kali sebelum ini, termasuk ketika beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Penerangan Pas Pusat.

 Ketika itu, beliau diarahkan untuk membuat kenyataan bagi menafikan 'Gerakan UG' antara pemimpin Pas dan pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mana akhirnya dirinya terpaksa membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia setelah pembongkaran dibuat sendiri Tun Abdullah berhubung pertemuan dengan beberapa pimpinan Pas secara tertutup.
Mahfuz juga memberikan satu lagi contoh membabitkan klip audio tular melibatkan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang dinafikan pimpinan Pas, dan akhirnya diakui sendiri kebenarannya oleh anak kepada bekas Mursyidul Am Pas
"Pas ini ada juga isu lain, pertama sekali Muafakat Nasional, dia berkira dengan UMNO dan akhirnya dia meninggalkan UMNO pergi kepada Perikatan Nasional.
"Hari ini dia sendiri kalau ikut dalam PasLeak sedia berunding dengan Pakatan Harapan khususnya PKR dan Amanah, sebelum Bersatu membuat pendirian bersendirian, maknanya dia sendiri sudah meragui tentang pendirian Bersatu terhadap dia,
"Bagi saya Pas adalah sebuah parti yang tidak boleh dipercayai oleh masyarakat Malaysia, sebab penafian yang dibuat ini bukan satu benda yang baharu, dia boleh dilabel sebagai ahli nafi, atau pun 'ahlul-nafi'," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa Ahli Parlimen Pokok Sena bersama Kelab Media Elit Kedah di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar pada Isnin.
Mahfuz juga turut mencabar kepimpinan Pas untuk membuat laporan polis sekiranya isu ini tidak benar seperti yang dilakukan dalam beberapa isu lain sebelum ini.
"Saya tidak nampak ada satu kesungguhan, dia menafikan itu sekadar nak melepas batuk di tangga, kalau betul-betul ada orang buat (fitnah), dia boleh buat laporan polis, boleh kerah Pemuda (Pas) untuk buat laporan polis di seluruh negara.
"Sebelum ini pelbagai isu dia boleh buat laporan polis di seluruh negara, tetapi sekarang tidak nampak kesungguhan, takkan kerana letih puasa tidak buat laporan polis," katanya.
Dalam perkembangan sama, Pas juga diminta untuk menyatakan pendirian sebenar mereka berhubung persetetujuan sekiranya hukuman mahkamah dilewatkan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak sekiranya masih berkeras menafikan apa yang dipaparkan didalam PasLeak.
Sebelum ini tular beberapa dokumen di media sosial, yang mendakwa terdapat perancangan rapi untuk mempercepatkan hukuman mahkamah terhadap beberapa pemimpin kanan UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Antara nama yang disebut sebagai ‘perancang utama’ dalam dokumen itu ialah Naib Presiden Pas, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut didakwa mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti politik lain.