Menuju PRU 15: Perlu teroka kerjasama dengan parti anti-BN?
Seandainya trend pengundian yang dilihat pada Pilihan Raya Negeri
Melaka, Sarawak dan Johor kekal, yang mana pengundi Atas Pagar enggan keluar
membuang undi maka mungkin satu penjajaran baharu politik harus berlaku.
Hal itu diutarakan oleh Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk
Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam program bual bicara terbitan Bernama TV
yang dimoderatorkan oleh Sherkawi Jirim, malam mtadi.
Dalam forum bersama Ketua Penerangan Pas, Senator Khairil Nizam
Khirudin itu, Shamsul berkata, mungkin tiba masanya untuk diteroka kerjasama
gabungan politik yang boleh menghasilkan satu lawan satu antara BN dan para
pencabarnya dalam Pilihan Raya Umum ke 15.
"Saya singgung sikit Pas. Ada pepatah menyatakan 'hidung tak
mancung, pipi tersorong sorong'.
"Pada saya kalau katakan dah kena hentam dalam Perhimpunan
Agung (Umno) itu, maka kita baliklah ke drawing board, betulkan balik keadaan.
"Saya setuju mungkin perlu kita explore satu lawan satu, penjajaran baru parti dalam negara kita. Kalau
kita setuju pada prinsip, mengapa tidak kita mulakan perbincangan yang lebih
dinamik, lebih progresif untuk masa depan rakyat dan negara dengan
memperbetulkan institusi politik supaya ia lebih baik daripada yang lalu,"
katanya.
Cadangan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu disambut positif oleh
Kamaruzaman.
Katanya, dalam politik semua kemungkinan boleh terjadi berdasarkan
strategi semasa dan figh keutamaan.
"Politik bukan benda statik, tetapi dinamik dan memerlukan
pertimbangan demi pertimbangan.
"Politik tak sesuai dengan (pemimpin) hati tisu. Ahli politik
kena tegas, cool dan memikirkan pertimbangan masa hadapan. Pas parti lama bukan
baru. Kami banyak dikhianati kerana prinsip yang kami bawa. Pengalaman itu
perlu untuk kita meneroka lebih banyak penambahbaikan," katanya.
Bagi beliau Pas terbuka untuk kerjasama asalkan berlandaskan
perlembagaan parti dan membolehkan syiar Islam ditingkatkan.