NGO cadang PAC lantik ahli akademik halusi lompat parti
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang untuk sistem pilihan raya yang bersih dan adil menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi meneliti penggubalan undang-undang anti lompat parti yang dijadualkan memulakan mesyuaratnya minggu ini.
Bagaimanapun menurut beberapa NGO yang turut disertai BERSIH 2.0 itu, terdapat beberapa perkara lain yang perlu dibincangkan bersekali dengan Akta Anti Lompat Parti bagi menguatkan kepercayaan rakyat terhadap undang undang tersebut kelak.
“Musyawarah JKPK ini perlu diperkembangkan merangkumi segala isu berkaitan isu lompat parti seperti pindaan terhadap Akta Pertubuhan 1966, pengkanunan peruntukan pembangunan kawasan (CDF), lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pendanaan politik, kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pemisahan fungsi Peguam Negara serta Pendakwa Raya.
“Rakyat Malaysia umumnya inginkan semua isu di atas, yang menggalakkan gejala lompat parti, dipertimbang untuk dicari jalan penyelesaiannya.
“Namun jika ruang lingkup perbincangan yang terlalu sempit ia akan menghampakan orang ramai dan menjejaskan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan dalam isu lompat parti ini,” kata mereka.
Menurut gabungan NGO berkenaan lagi, pemegang taruh yang berbincang untuk memuktamadkan draf Akta Anti Lompat Parti itu tidak seharusnya terdiri daripada hanya pemimpin parti politik sahaja, sebaliknya perlu dianggotai sama ahli akademik.
“JKPK wajar menjemput semua pemegang taruh, Ahli Parlimen, parti politik, organisasi masyarakat madani (CSO), ahli akademik, dan individu-individu untuk memberi cadangan secara bertulis, kemudian memilih di kalangan mereka yang dijemput untuk membentang pandangan secara terperinci di hadapan JKPK.
“JKPK boleh menggunakan budi bicaranya sama ada memuatnaik segala cadangan bertulis oleh orang awam di laman sesawang Parlimen Malaysia dan menyiarkan sesi libat urus dengan semua yang dijemput, kecuali mereka yang memilih untuk tidak diumumkan cadangan atau libat urus mereka.
“Hal ini akan membolehkan orang awam dan pemegang taruh dapat mengikuti proses musyawarah JPKP dengan lebih jelas dan telus,” ujar kenyataan itu.
Tambah gabungan NGO terbabit, JPKP juga perlu melantik beberapa orang penasihat daripada CSO dan akademia yang mahir serta pakar berkaitan isu yang sedang mereka teliti
“Justeru, kami mencadangkan dua orang individu yang dikenali dengan kepakaran dalam bidang berkenaan seperti Prof Wong Chin Huat, ahli sains politik Sunway University dan Maha Balakrishnan, pakar demokrasi berparlimen serta Felo Penyelidik Jeffrey Cheah Institute, Sunway University untuk dilantik menganggotai JPKP ini,” kata mereka lagi.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Engage Network, Bait Al-Amanah, Institute for Political Reform and Democracy (REFORM), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Persatuan Pengundi Muda (Undi18) dan WISDOM Foundation.