Najib tempelak Asmuni isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar

 


Najib tempelak Asmuni isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar


Najib Razak mempertahankan kenyataan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad yang mendedahkan bahawa tanah tapak lapangan terbang baharu Ipoh di Seri Iskandar telah dijual ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga 2019.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pengumuman pembinaan lapangan terbang baharu itu diumumkan sendiri olehnya sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan Seri Iskandar dikenal pasti sebagai lokasi baharu pembinaan lapangan terbang berkenaan.

“Tapak tanah bagi pembinaan lapangan terbang baharu Ipoh pun dirizabkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak oleh kerajaan negeri BN dahulu.

“Namun MB Perak ketika ini dedahkan bahawa tapak tanah tersebut telah dijual ketika pemerintahan kerajaan PH antara tahun 2018 hingga 2019,” katanya di Facebook.

Ia susulan kenyataan dibuat Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi bahawa isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar, Ipoh, Perak, adalah di luar pengetahuan mereka ketika bawah pentadbiran gabungan itu.

Asmuni berkata, ketika menjadi Exco kerajaan PH ketika itu, penjualan tanah tersebut tidak pernah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat Exco untuk diluluskan.

Bagaimanapun, Najib berkata Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming juga mendakwa tidak tahu tanah itu telah dijual masa mereka memerintah.

“…dan dakwa ianya “tindakan tidak bertanggungjawab individu-individu tertentu”.

“Lawak. Warga Perak bukan sahaja tak dapat lapangan terbang baharu yang dinanti-nantikan seperti diumum dan dijanji kerajaan BN dahulu jika menang PRU14 malah tapaknya turut dijual masa PH,” katanya.