5 April 2022
MUAT TURUN DAN DAFTAR SEBAGAI PENGUNDI ATAS TALIAN
Dalam Pemilihan 2018, ada 20,000+ undi yang tidak dikira.
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada ketika itu memberi
alasan ia berpunca dari masalah teknikal yang menyebabkan pelayan (cloud
server) tidak mengesan undi-undi itu. Masalah 20,000+ undi yang tidak dikira
ini dibawa ke Biro Politik tetapi keputusannya pada ketika itu untuk tidak
mengambil apa-apa tindakan.
Sementara saya aman dan tenang sahaja, KEADILAN akhirnya
dikhianati oleh pemenang-pemenang hasil dari keputusan pemilihan yang meragukan
sebegini. Hampir semua anggota JPP pun meninggalkan parti menyertai mereka yang
khianat.
Kita meletakkan harapan yang besar kepada JPP kali ini yang
dipengerusikan Dr Zaleha, veteran lama parti untuk memastikan peristiwa ini
tidak berulang lagi. Sebab itu saya menyokong sepenuhnya usaha JPP untuk
mengadakan pemilihan atas talian walaupun ia dianggap rumit.
Ada beberapa kebaikan sistem pemilihan atas talian ini.
Pertama, ia memberi kebebasan kepada anggota biasa untuk memilih
calon-calon tanpa perlu dipengaruhi oleh pimpinan di peringkat cabang dan
lain-lain. Hak itu adalah hak individu setiap anggota. Jika pemilihan secara
fizikal, ada perayu undi yang cuba berkempen ketika anggota biasa ingin
mengundi.
Kedua, ia mengurangkan risiko pengundi yang digerakkan tetapi
tidak ambil tahu mengenai perkembangan parti. Keadaan ini mewujudkan “warlord”
politik di peringkat akar umbi yang boleh mempengaruhi keputusan pimpinan parti
mengikut kumpulan mana yang menjanjikan kedudukan
terbaik
kepada mereka (tidak semestinya pemimpin yang
terbaik
akan diangkat).
Maka, kita wajar berusaha supaya seberapa ramai anggota memuat
turun aplikasi ADIL dan mendaftar sebagai pengundi atas talian. Proses
pendaftaran mengambil sedikit masa kerana saya difahamkan JPP perlu mengesahkan
identiti setiap anggota dengan memadankan kad pengenalan dan gambar profil.
Setakat hari ini, saya difahamkan tidak sampai 5% dari anggota
parti telah mendaftar sebagai pengundi atas talian. Ia mendedahkan parti kepada
pemilihan oleh segelintir sahaja yang tidak mewakili sentimen anggota parti keseluruhannya.
Tarikh akhir untuk memuat turun aplikasi ADIL dan mendaftar
sebagai pengundi atas talian ialah 8 April 2022 (dua hari dari sekarang). Anda
boleh muat turun di capaian berikut:
Apple:
https://apps.apple.com/us/app/adil/id1609854829
Google:
https://play.google.com/store/apps/details...
Jangan berlengah lagi. Muat turun aplikasi ADIL dan daftar
sebagai pengundi atas talian jika anda betul-betul mahu pasukan baru yang lebih
kreatif mendekati pengundi.
Jika anda hanya pandai sembang di WhatsApp atau Facebook tetapi
tidak pun mendaftar sebagai pengundi atas talian, anda memang juara sembang
kencang (tapi tidak ada kesan)!
RAFIZI RAMLI