Khemah besar: Rakyat terima atau syok sendiri?
Strategi khemah besar kembali diperkatakan secara vokal oleh sesetengah pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang dikatakan akan diadakan dalam beberapa bulan mendatang.
Strategi berkenaan dipersetujui pada permukiman pemimpin PH di Port Dickson pada 2020 lalu. Ketika itu strategi ini melibatkan parti parti pembangkang sahaja. Namun setelah siri kekalahan PH dalam Pilihan Raya Negeri baru baru ini, strategi khemah besar mahu melibatkan parti parti dalam kerajaan pula.
Bagi calon Naib Presiden KEADILAN, Thiban Subbramaniam, sebarang strategi perlulah mengambil kira kehendak rakyat sebelum dilaksanakan.
Katanya, kehendak rakyat pada PRU 14 lalu adalah menolak kleptokrasi dan sebarang perbuatan buruk lainnya, bukan semata mata bergabung di bawah satu khemah.
“KEADILAN – Pakatan Harapan harus fokus kepada strategi mengembalikan keyakinan rakyat dan hentikan sebarang perbincangan di sebalik pintu dengan parti pengkhianat
“Saya ambil maklum isu hangat diperbincangkan berkait strategi “Khemah Besar”. Beberapa nama besar dalam PH telah menyatakan pendirian mereka berkenaan strategi tersebut yang boleh menyatukan parti pembangkang dalam satu pasukan.
“Namun harus diingat, pada PRU-14, rakyat khususnya pengundi atas pagar telah memilih PH untuk menerajui Kerajaan buat kali pertama dalam sejarah. Perubahan ini tidak mungkin berlaku jika kita tidak berjaya meyakinkan mereka untuk memilih PH
“Kempen melalui sentimen kos sarah hidup, pendidikan, pekerjaan dan “Good governance” telah membuka mata para pengundi Atas Pagar. Manifesto yang ditawarkan oleh PH pada masa itu dilihat sebagai penyelesaian terbaik untuk masalah rakyat dan negara,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Thiban, setelah PH berjaya melangkah ke Putrajaya, rakyat muak dengan gelagat segelintir pemimpin yang hanya tertumpu kepada kuasa dan kedudukan.
Ditambah lagi ketika PM Tun Dr Mahathir menyebut bahawa manifesto bukanlah kitab suci. Maka rakyat mula hilang kepercayaan kepada ketelusan Kerajaan PH untuk melaksanakan janji.
Kemudian, katanya, Langkah Sheraton menjadi sebahagian daripada sejarah hitam politik Malaysia. Rakyat menyaksikan sendiri parti mana yang sanggup menggadai prinsip demi kuasa.
“Pengundi Atas Pagar khususnya muak dengan parti-parti yang tidak berprinsip ini dan saya percaya mereka akan menolak parti-parti itu dalam PRU-15.
“Pada masa sama akar umbi dan pengundi Atas Pagar juga tidak yakin dengan gerak kerja PH yang dilihat hanya fokus untuk kembali berkuasa dengan apa juga cara. Sebab itu peratusan keluar mengundi dalam beberapa siri PRN masih rendah dan tidak berpihak kepada PH.
“PH khususnya KEADILAN harus berusaha untuk mendapat semula keyakinan rakyat. Rakyat khususnya pengundi Atas Pagar muak dengan politik perebutan kuasa. Jika kita masih berbicara tentang kerjasama strategik dengan parti luar dari kerangka PH maka ia akan mengurangkan lagi keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap PH,” katanya.
Thiban percaya sekiranya PH fokus kepada usaha memperkuatkan gabungan dengan membicarakan isu rakyat yang kini berhadapan dengan isu kos sara hidup, kenaikan harga barang, pekerjaan dan kesihatan, maka rakyat akan mula kembali percaya kepada perjuangan kita.
Tambahnya, jika PH berjaya merebut keyakinan rakyat pada PRU 14 lalu dangan isu isu sedemikian, maka tidak mustahil PH akan berjaya melakukannya sekali lagi pada kali ini.