Malam tadi selepas solat tarawih di Kg Pasir, saya bergegas ke Jalan Telawi, Bangsar Baru untuk buat spotcheck premis-premis bar/pub.
Baru-baru ini viral video anggota polis meleraikan pergaduhan di antara beberapa pengunjung premis bar/pub. Malah sebelum ini berlaku beberapa insiden pergaduhan hingga pernah terjadi kematian.
Saya sejak dari awal berpandangan premis-premis bar/pub yang terletak terlalu dekat dengan rumah-rumah di Bangsar Baru tidak patut dibenarkan beroperasi, lebih-lebih lagi yang ada live DJ atau muzik kuat yang sering mengganggu jiran yang tinggal kurang 100m dari premis tersebut (ini juga ada dalam garis panduan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).
Ada juga premis yang selalu dikunjungi terlalu ramai orang (sehingga polis terpaksa melakukan operasi baru-baru ini). Ini melanggar SOP dan berbahaya bila premis menjadi terlalu padat - COVID-19 terlalu mudah merebak.
Malam tadi saya saksikan sendiri beberapa premis sedemikian, manakala kebanyakan yang lain terkawal.
Beberapa tahun lalu saya pernah panggil semua pengusaha premis untuk satu pertemuan supaya keadaan lebih terkawal. Kali ini tindakan sangat tegas perlu dipertimbang pihak berkuasa, terutama buat premis-premis yang didapati melanggar (berkali-kali) garis panduan DBKL, atau SOP MKN dan KKM.
Cukuplah. Saya tak nak insiden-insiden yang tak diingini berlaku lagi.