KAH...KAH...MB NI YANG MNA SATU LA GAMAKNYA....

 


Kami tak tahu tanah lapangan terbang di Ipoh dijual, dakwa bekas Exco




Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi, berkata ketika menjadi Exco kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak ketika itu, penjualan tanah tersebut tidak pernah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat Exco untuk diluluskan.

PETALING JAYA: Seorang bekas exco dari Pakatan Harapan (PH) memberitahu, isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar, Ipoh, Perak, adalah di luar pengetahuan mereka ketika di bawah pentadbiran gabungan itu.

Asmuni Awi yang juga Pengerusi Amanah Perak, berkata ketika menjadi Exco kerajaan PH ketika itu, penjualan tanah tersebut tidak pernah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat Exco untuk diluluskan.Katanya, perkara itu tidak ketahui sehingga dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong dari DAP, Ngar Kor Ming, ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Selasa lalu.

Ngar yang membangkitkan perkara itu dan ia disahkan oleh Menteri Besar Saarani Mohamad.

“Sebenarnya kami di pihak PH tidak tahu menahu tentang soalan tersebut sebab dia tak pernah dibincangkan oleh menteri besar ketika itu dalam mesyuarat Exco.

“Walaupun di sana ada “collective responsibility”, tapi ia merupakan keputusan individu yang seharusnya dipertanggungjawabkan tetapi yang terpalit nama kerajaan negeri,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Saarani, pada Khamis, bahawa tanah lapangan terbang tersebut dijual ketika zaman pemerintahan PH.

Sementara itu, Asmuni berkata, Saarani sepatutnya menjawab persoalan itu di DUN supaya perkara tersebut boleh dibahas dan dibincangkan kerana penjualan itu tidak melalui serta mendapat kelulusan mesyuarat Exco.

“Mungkin satu siasatan perlu dijalankan terhadap sumber kuasa bagaimana penjualan ini boleh dilangsungkan, berapa harganya dan siapa pembelinya. Ada atau tidak kemungkinan tanah ini boleh diambil balik walaupun telah dijual.

“Saya agak dukacita jawapan kepada perkara ini hanya diberikan di luar dewan dan tidak memberi peluang untuk membuat satu keputusan yang tuntas,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun masih tidak terlewat untuk kerajaan negeri menyiasat kembali isu tersebut dan mengambil langkah sewajarnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, berkata tindakan lanjut termasuk siasatan dalam isu penjualan tanah bagi tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, hanya dijalankan jika ada aduan serta laporan disalurkan kepada pihak berkuasa.

Katanya, sudah menjadi prosedur standard untuk sesuatu siasatan dibuat pihak berkuasa yang mesti berasaskan kepada aduan atau laporan.

“Jadi terpulanglah kalau kata nak buat aduan atau laporan, biarlah pihak berkuasa yang menyiasatnya dan saya tidak akan ‘menyapu sampah bawah karpet’ (menyembunyikan kebenaran),” katanya menurut laporan Harian Metro.